Jumaat, 22 Mei 2020 | 6:35pm
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto Owee Ah Chun
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. - Foto Owee Ah Chun

MPM kecewa, sifatkan APSF tak profesional

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kecewa dengan keputusan saat akhir Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) membatalkan Mesyuarat Tergempar Lembaga Pengelola (BoG) badan induk itu yang sepatutnya dijadualkan berlangsung hari ini.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, tindakan itu seolah-olah tidak profesional kerana APSF tidak menyatakan alasan kukuh mengapa mesyuarat tergempar bagi membincangkan hala tuju Sukan Para ASEAN (APG) 2020 itu dibatalkan.

"Kami semuanya (ahli lembaga APSF) dijemput pada 20 Mei lalu untuk mengadakan mesyuarat tergempar secara maya yang dijadualkan tengahari ini. Namun kami mendapat emel saat akhir pada pagi ini daripada APSF memaklumkan mesyuarat berkenaan dibatalkan.

"Menurut surat berkenaan, keputusan membatalkan mesyuarat dibuat selepas mendapat cadangan daripada Michael Barredo (Pengerusi BoG APSF) yang juga Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina (PPC).

"Beliau bertindak demikian selepas mendapat surat daripada Majlis Paralimpik Thailand yang menyatakan hasrat sedia menganjurkan APG 2020 dengan syarat temasya itu dianjurkan dalam skala minima dan dijalankan pada bulan Disember 2020.

"Ini satu tindakan yang mementingkan diri sendiri kerana ketetapan segera perlu dibuat semua negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Megat D Shahriman berkata, tindakan itu seolah-olah membuktikan tuan rumah asal APG 2020 iaitu Filipina sebagai tidak matang selepas terlebih dulu membuat ketetapan untuk membatalkan penganjuran temasya atas alasan krisis pandemik COVID-19.

"Sepatutnya mereka terus saja memaklumkan kepada Majlis Paralimpik Thailand bahawa temasya ini dibatalkan bagi membolehkan kami meneruskan perbincangan untuk menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil.

"Saya amat kecewa dengan apa yang terjadi sekarang ini. Mereka khususnya Barredo banyak berdolak-dalik. Beliau hanya menggunakan surat kesediaan daripada Thailand yang menyentuh dan menyebut nama Pesuruhjaya Sukan Filipina sebagai alasan untuk pihaknya terlebih dulu perlu bermesyuarat.

"Saya tidak faham kenapa. Ia bukan sesuatu yang serius dan boleh menggugat kerajaan Filipina ataupun menggugat mana-mana pihak selepas Filipina sendiri membuat ketetapan untuk membatalkannya," katanya.

MPM turut mahu mesyuarat tergempar ini diadakan secepat mungkin bagi membolehkan isu ini segera diselesaikan, selain melihat kemungkinan untuk negara lain mengambil alih status tuan rumah temasya APG.

"Perbincangan secara lisan sudah kami (Ahli Lembaga APSF) buat yang mana kami mahu pastikan Filipina tidak lagi menganjurkannya. Dan jika ada mana-mana pihak berminat untuk menganjurkan kami bersedia membuka peluang kepada negara berkenaan.

"Jika benar Thailand berminat, kami perlu mencapai keputusan bersama kerana temasya ini membabitkan skala yang besar. Jadi kita perlu mendapatkan kepastian yang jitu daripada pihak mereka," katanya.

Terdahulu, pada awal bulan ini Filipina membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran APG 2020 dengan alasan penularan pandemik COVID-19 selepas beberapa kali menangguhkannya susulan berdepan masalah kewangan.

Berita Harian X