Sabtu, 23 Mei 2020 | 9:31pm
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu. - Foto Aswadi Alias
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu. - Foto Aswadi Alias

Terengganu ambil tindakan atlet ingkar SOP

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika menjalani latihan di luar rumah.

Mengumumkan perkara itu di sini, Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata, tindakan tegas itu termasuk tidak membenarkan mereka meneruskan sesi latihan di luar selepas ini.

"Kita tahu risiko berkaitan penularan wabak pandemik COVID-19 ini amat tinggi jika atlet tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerana wabak ini boleh mengancam nyawa manusia.

"Kita tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika mereka gagal mematuhi SOP. Lagipun langkah keselamatan ini sudah kami maklumkan kepada atlet termasuk jurulatih bagi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini kerana negara masih berdepan wabak pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun, setakat ini kami puji atlet termasuk jurulatih kerana mereka sentiasa berdisiplin dalam misi menggalas tugas Terengganu untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor Mac tahun depan," katanya.

Ibni Amin berkata setakat ini hanya sukan berbasikal sahaja sudah menjalani latihan di luar rumah manakala sukan lain yang tidak membabitkan perhimpunan dan sentuhan bakal menyusul selepas sambutan Aidilfitri dengan SOP yang ketat.

"Selepas Aidilfitri nanti, kita akan bentangkan kertas kerja dan garis panduan latihan lengkap bagi setiap sukan untuk kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri terlebih dahulu sebelum rancangan latihan di tempat terbuka ini dijalankan.

"Buat masa ini semua sukan masih lagi berlatih dari rumah kecuali basikal. Basikal mula berkayuh kerana dalam garis paduan kementerian membenarkan bergantung kepada had bilangan tidak lebih daripada 10 orang," katanya.

Berita Harian X