Sabtu, 30 Mei 2020 | 5:24pm
Setiausaha PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok. - Foto fail NSTP
Setiausaha PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok. - Foto fail NSTP

Pesilat Pahang dipantau menerusi panggilan video

KUANTAN: Pemantauan latihan menerusi panggilan video dilakukan Persatuan Silat Negeri Pahang (PESAKA Pahang) dalam usaha memastikan 56 pesilat tetap menjalani sesi latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setiausaha PESAKA Pahang, Datuk Osman Nok berkata, setakat ini semua pesilat yang terpilih mewakili negeri itu ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor menjalani latihan di rumah seperti biasa.

Katanya, walaupun sesi latihan yang dilakukan berbeza berbanding latihan secara berpasukan, tahap kecergasan dan ketangkasan menjadi keutamaan.

"Ketika ini, pesilat SUKMA Pahang masih menjalani latihan di rumah dan dipantau menerusi panggilan video oleh jurulatih masing-masing. Segalanya dilihat positif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu disusuli PKPB biarpun SUKMA Johor 2020 hanya pada Mac tahun depan," katanya.

Osman berkata berdasarkan perancangan, skuad silat Pahang menyenaraikan 56 atlet, merangkumi 36 pesilat olahraga dan 20 pesilat silat seni.

Untuk rekod pada SUKMA Perak 2018, skuad silat Pahang meraih enam emas, dua perak dan tujuh gangsa.

Berita Harian X