Sabtu, 30 Mei 2020 | 8:14pm
Pasukan TSG kembali berlatih sejak Aidilfitri ketiga.
Pasukan TSG kembali berlatih sejak Aidilfitri ketiga.

TSG belum muktamad jelajah perlumbaan

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal bertaraf benua, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) belum memuktamadkan lagi senarai jelajah perlumbaan yang bakal disertai mereka selepas ini berikutan dunia masih lagi berdepan penularan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun barisan pelumba skuad yang berpangkalan di negeri ini yang diketuai Mohd Zamri Saleh itu sudah memulakan kembali kayuhan sejak Aidilfitri ketiga lagi di sekitar zon hijau pandemik.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, setakat ini pasukan TSG yang kini berada di tangga kedua Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi Asia belum lagi memutuskan senarai jelajah perlumbaan yang bakal disertai atas faktor keselamatan pelumba.

"Dalam masa tiga bulan ini belum ada perlumbaan yang betul-betul sah kita sertai memandangkan dunia masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19. Namun pelumba kita sudah menjalani latihan di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Berang dan Setiu sejak Aidilfitri ketiga.

"Dalam masa sama dua pelumba elit TSG iaitu Wan Abdul Rahman Hamdan dan Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham yang bakal menyarung jersi pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu turut menjalani latihan.

"Begitu juga dengan empat pelatih skuad Akademi TSG yang bakal menyarung jersi SUKMA negeri iaitu Muhammad Ariff Redzuan Zulkefli, Muhammad Nasrullah Zakaria, Zulfadli Iswadi Zainal dan Muhammad Fikri Majemin turut sama menjalani latihan.

"Selebihnya adalah pelumba elit tempatan manakala lapan pelumba import TSG kini berada di negara mereka masing-masing," katanya.

Sebelum ini TSG mengumumkan terpaksa menarik diri daripada menyertai lima jelajah akibat penularan pandemik COVID-19 selepas mengambil kira semua faktor terutama kesihatan dan keselamatan pelumbanya.

Lima jelajah itu ialah BSB120 Brunei, Tour de Tochigi Jepun, GP Mediterannean Turkey, GP Justiniano Hotels Turkey dan Bieras A Serra da Estrela Portugal.

Musim ini TSG mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Christofer Jurado dari Panama dan Carlos Quintero dari Colombia yang pernah mewakili pasukan Monzana Postoban, Colombia dan China Continental Team of Gansu Bank, China bagi memperkuatkan pasukan itu musim ini.

Turut berada dalam senarai pelumba pasukan itu selain Mohd Zamri ialah adiknya Mohd Harrif selain Ovechkin Artem (Russia), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Muhamad Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat (Singapura), Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Maral Erdene Batmunkh (Mongolia), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea), Drew Morey (Australia) dan Youcef Reguigui dari Algeria.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X