Sabtu, 30 Mei 2020 | 9:47pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Hockademy bidas kenyataan tak bertanggungjawab MHC

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki Hockademy membidas jawapan balas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung isu pembayaran wang kemenangan Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) dengan menyifatkan badan induk sukan hoki negara itu seharusnya 'tiada lagi alasan' .

MHC hari ini membuat jawapan balas atas kelewatan pembayaran hadiah kemenangan pasukan wanita Hockademy seperti didakwa pengurus pasukan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin di laman Facebook pasukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Anil Jeet Singh dalam jawapan balas itu menjelaskan punca kelewatan dihadapi pihaknya menerusi sebuah akhbar Inggeris tempatan hari ini yang bertajuk 'MHC:Only one team making all the noise' (MHC:Hanya satu pasukan yang buat bising).

Begitupun, menggunakan pandemik COVID-19 sebagai alasan didakwa tidak sepatutnya dimainkan oleh MHC tatkala Hockademy berpegang kepada pendirian yang hadiah kemenangan itu adalah hak pemain tidak kira daripada pasukan mana sekalipun dan ia wajar dituntut.

"Kenyataan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM (MHC) dengan jelas memberi mesej badan induk itu dengan sengaja boleh melengah-lengahkan pembayaran hadiah wang kemenangan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2020 tanpa alasan yang kukuh apabila mengambil pendekatan untuk menganggap setiap pasukan terbabit tidak menghiraukan soal cepat atau lambat pembayaran itu dibuat.

"Namun demikian, pihak Hockademy melihat ianya sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh KHM dan secara tidak langsung memberi gambaran bahawa badan induk itu memandang remeh serta tidak mementingkan kebajikan pemain hoki tempatan yang menjadi nadi kepada sukan hoki negara.

"Bagi pihak Hockademy, kami berpendirian bahawa ini adalah hak pemain tidak kira daripada pasukan mana sekalipun dan wajar dituntut. Justeru itu, sekali lagi kami ingin tegaskan bahawa hadiah kemenangan itu perlu dilunaskan dengan kadar segera tanpa memperjudikan nasib pemain.

"Sekiranya KHM masih belum menerima wang penajaan, kami ingin sarankan supaya pihak pengurusan KHM untuk mendahulukan wang sendiri demi kebajikan pemain. Tolong, tiada lagi alasan…," kata pasukan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam laporan akhbar itu, Anil memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif MHC, Norfaraha Hashim sudah mengeluarkan notis kepada semua pasukan bertanding bagi menjelaskan kenapa MHC masih belum dapat melunaskan bayaran hadiah wang kemenangan walaupun TNBMHL sudah pun berakhir penghujung Februari lalu.

Anil dilaporkan berkata:"Di sini saya ingin menegaskan, individu yang mengurus pasukan seharusnya cukup matang untuk memahami yang pandemik COVID-19 ini menjadikan urusan kebiasaan menjadi sukar atau hampir mustahil dilaksanakan oleh kebanyakan syarikat atau organisasi.

"Hanya sebuah pasukan yang buat bising, manakala pengurusan pasukan lelaki atau wanita yang lain tampak memahami situasi dihadapi dengan baik."

Notis dikeluarkan MHC turut menjelaskan:"Mengambil maklum kepada pembayaran hadiah kemenangan TNBMHL, MHC ingin memaklumkan kepada pasukan, pandemik COVID-19 yang bermula awal tahun ini membuatkan banyak program yang dirancang MHC, turut terkesan.

"Ini termasuk pembayaran hadiah kemenangan TNBMHL. MHC sedang dalam proses mempercepatkan pembayaran kepada pemenang. Untuk makluman pasukan, ini adalah proses normal selepas setiap kali berakhir musim TNBMHL dan pembayaran akan dibuat selepas Lembaga Eksekutif meluluskannya."

Pasukan wanita Hockademy memenangi saingan liga dan muncul naib juara dalam Piala Vivian May Soars yang menjadikan hadiah wang kemenangan keseluruhan berjumlah RM65,000.

Berita Harian X