Ahad, 26 Ogos 2018 | 11:51pm
PERLUMBAAN motosikal Grand Prix Britain dibatalkan berikutan hujan yang menyebabkan keadaan tidak selamat di trek. - Foto EPA
PERLUMBAAN motosikal Grand Prix Britain dibatalkan berikutan hujan yang menyebabkan keadaan tidak selamat di trek. - Foto EPA
MotoGP Britain dibatalkan kerana keadaan tidak selamat di trek. - Foto AFP
MotoGP Britain dibatalkan kerana keadaan tidak selamat di trek. - Foto AFP
PENONTON bergerak keluar selepas pembatalan MotoGP. - Foto AFP
PENONTON bergerak keluar selepas pembatalan MotoGP. - Foto AFP

MotoGP Britain batal

LONDON: Perlumbaan motosikal Grand Prix Britain dibatalkan berikutan hujan yang menyebabkan keadaan tidak selamat di trek, umum penganjur hari ini.

Susulan hujan lebat sepanjang hujung minggu ini perlumbaan MotoGP itu diawalkan dari jam 12 tengah hari waktu tempatan kepada jam 10.30 pagi bagi mengelak cuaca terbabit.

Namun hujan terus melanda pada sebelah pagi, memaksa penganjur menunda masa permulaan perlumbaan itu sebelum kemudiannya membatalkannya atas sebab keselamatan.

Selepas beberapa kali perlumbaan itu dijadual bermula dan kemudian ditangguhkan, satu mesyuarat membabitkan pegawai dan pasukan diadakan.

Mereka mencapai kata sepakat bahawa trek berkenaan tidak sesuai untuk pertandingan dengan risiko mungkin berlaku pada permukaan trek yang dibasahi  hujan.

“Selepas pertemuan membabitkan pegawai IRTA dan pelumba MotoGP, keputusan diambil untuk membatalkan Grand Prix Britain kerana permukaan trek yang dianggap terlalu tidak selamat,” umum kenyataan di laman web rasmi MotoGP.

Satu sidang media yang bakal diadakan pada jam 3.15 waktu tempatan bagi membincangkan situasi ini dengan kekhuatiran sama ada perlumbaan itu akan diatur semula selepas MotoGP berkata bahawa ‘tiada pilihan’ untuk menganjurkannya pada Isnin. – AFP 

Berita Harian X