Jumaat, 3 April 2020 | 11:10pm

Belum cadang tunda GP Malaysia

KUALA LUMPUR: Status perlumbaan MotoGP Dunia 2020 pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang dijadual berlangsung November depan, masih belum diputuskan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali, berkata ia susulan perkembangan pandemik COVID-19 di seluruh dunia yang semakin membimbangkan sehingga menyukarkan Dorna Sports, selaku promoter MotoGP Dunia, dalam membuat pindaan jadual perlumbaan yang terjejas.

“SIC sering berkomunikasi dengan Dorna sekurang-kurangnya dua kali seminggu sejak penularan COVID-19 dan susah bagi mereka untuk membuat perancangan setakat ini kerana ketidaktentuan global serta kesukaran menentukan apa bakal berlaku pada masa hadapan.

“Tetapi berdasarkan perbincangan saya bersama Carmelo Ezpeleta (CEO Dorna Sports) dua hari lepas, setakat ini tiada perancangan untuk menunda GP Malaysia tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa,” katanya kepada pemberita menerusi persidangan video hari ini.

Razlan berkata hasil perbincangan bersama Dorna Sports, promoter tersebut menjangkakan untuk menyambung semula saingan musim 2020 seawal Ogos depan sekiranya penularan COVID-19 berjaya ditangani.

Menurut beliau, Dorna Sports tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan format ‘dua perlumbaan hujung minggu’ dengan bertujuan mengurangkan tempoh masa bagi melengkapkan keseluruhan perlumbaan musim ini sekiranya ia disambung pada Ogos.

Tiga perlumbaan pertama MotoGP musim 2020 iaitu GP Qatar, GP Sepanyol dan GP Perancis terpaksa ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Dalam pada itu, Razlan mengakui penambahan kes jangkitan COVID-19 di peringkat global serta penangguhan beberapa siri perlumbaan pada awal musim menjejaskan penjualan tiket GP Malaysia yang sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

“Tiada penjualan tiket langsung sejak isu COVID-19, tetapi saya yakin keadaan akan bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, Razlan, yang juga merupakan prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), berkata barisan penaja masih bersama pasukan itu dalam tempoh sukar ini. - BERNAMA

Berita Harian X