Ahad, 5 April 2020 | 8:37am
BEKAS bos F1, Bernie Ecclestone. - Foto AFP
BEKAS bos F1, Bernie Ecclestone. - Foto AFP

COVID-19: Ecclestone gesa F1 dibatalkan

LONDON: Bernie Ecclestone berpendapat saingan Formula Satu (F1) musim ini sepatutnya dibatalkan kerana jumlah perlumbaan yang tidak mencukupi susulan pandemik COVID-19.

Lapan perlumbaan awal bagi musim 2020 sudah dibatalkan atau ditangguhkan, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai 14 lagi perlumbaan ketika pandemik berkenaan masih membayangi kalendar sukan seluruh dunia.

Paling minimum lapan perlumbaan diperlukan untuk mengesahkan kejuaraan musim ini, namun bekas supremo F1 itu menegaskan ia mungkin tidak akan berlaku.

“Kita sepatutnya menghentikan saingan musim ini dan mulakan dengan aksi baru tahun depan kerana saya tidak nampak kita akan mendapat jumlah perlumbaan yang tepat.

“Kita memang meletakkan harapan kepada lapan perlumbaan dan saya tidak nampak mereka akan berjaya melakukannya. Ini adalah situasi yang sukar,” katanya.

Lewis Hamilton meletakkan sasaran untuk menyamai rekod Michael Schumacher yang meraih tujuh gelaran dunia.

Namun, jika jumlah saingan musim ini dikurangkan ia mampu menghalang cita-cita pelumba kelahiran Britain itu.

Ecclestone bagaimanapun, berkata, dis tidak merasakan ia bakal menjejaskan impian Hamilton.

“Dia akan muncul juara tidak kira berapa perlumbaan akan diadakan musim ini, sama ada lapan, 16 atau 20.

“Jika ia masih lagi kejuaraan dunia dan dia juara, ia tetap akan diabadikan dalam rekodnya dan saya akan berkata dia adalah juara dunia. Bezanya jika dia hanya memenangi lapan kejuaraan ia tidak nampak seperti ‘kejuaraan unggul’,” kata Ecclestone.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  •  

    Berita Harian X