Rabu, 8 April 2020 | 3:04pm
Azhan Shafriman Hanif, CEO baharu SIC.
Azhan Shafriman Hanif, CEO baharu SIC.

Azhan ganti Razlan di SIC

KUALA LUMPUR: Datuk Razlan Razali kini memberi tumpuan penuh kepada pasukannya PETRONAS Sepang Racing Team di Kejuaraan Motosikal Dunia selepas kontrak perkhidmatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tamat bermula semalam.

Tempatnya di SIC kini diganti bekas Ketua Perikatan Strategik Jabatan Penjenamaan PETRONAS, Azhan Shafriman Hanif.

“Satu perjalanan menakjubkan mengetuai pasukan Litar Antarabangsa Sepang. Apa yang kami sudah capai dalam beberapa dekad sebelum ini berdasarkan usaha berpasukan.

“Ia tidak akan membuahkan hasil tanpa sokongan dan komitmen penuh dari pasukan di SIC tetapi juga rakan kerja kami dan juga pemegang taruh.

“Walaupun saya selaku prinsipal pasukan PETRONAS Sepang Racing Team, saya tentunya akan merindui suasana kerja bersama pasukan SIC. Saya doakan mereka dan CEO baharu meraih kejayaan yang hebat,” kata Razlan.

Karier Razlan selaku CEO SIC bermula pada 8 Oktober 2008 dan beliau disifatkan sebagai ‘bapa sukan permotoran’ oleh peminat sukan berkenaan dengan minat mendalamnya terhadap sukan ini sama sekali tidak boleh disangkal lagi.

Sementara itu, Shafriman berkata: “Ia satu penghargaan besar apabila diberikan tanggungjawab ini. Datuk Razlan meninggalkan impak besar untuk saya penuhi.

“Apapun, saya percaya yang saya boleh menawarkan perspektif unik untuk tugas ini, dengan mengambil kira pengalaman di PETRONAS,” katanya.

Shafriman turut menerima keyakinan Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya yang percaya dapat membawa SIC kepada kejayaan lebih tinggi nanti.

“Beliau seorang yang berkemampuan, bersemangat dan berpengalaman dalam arena sukan permotoran. Kami akan menggunakan asas diletakkan Datuk Razlan ketika memegang jawatan CEO untuk membangun dan mengukuhkan lagi litar ini.

“Sepanjang lebih daripada 11 tahun, Datuk Razlan sudah meninggalkan impak besar kepada litar ini dengan semangat mendalamnya terhadap sukan ini dan dedikasinya untuk memberikan yang terbaik mungkin. Kami amat berterima kasih atas sumbangan diberikannya,” kata Azman.

Berita Harian X