Ahad, 31 Mei 2020 | 5:28pm
Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin. - Foto FB Kasma Daniel
Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin. - Foto FB Kasma Daniel

Kasma sasar kelompok 15 terbaik kejuaraan motosikal dunia

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin meletakkan tahun pertamanya dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini dengan sasaran untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman selain penamat dalam kelompok 15 terbaik perlumbaan sebagai 'bonus' buat dirinya.

Beliau mempunyai kontrak selama tiga tahun bersama pasukan tempatan, ONEXOX TKKR SAG Team dengan tahun pertamanya ini bakal digunakannya untuk menggarap pengalaman di pentas berpretij selepas mempamerkan keputusan positif di Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV), tahun lalu.

Tahun lalu, pelumba yang bakal genap berusia 20 tahun pada September ini berada di kedudukan ke-10 terbaik keseluruhan di CEV dengan kutipan 54 mata, manakala rakan senegara, Ramdan Rosli yang juga pelumba ONEXOX TKKR SAG Team berada di kedudukan kelapan (68 mata).

"Saya akan mengumpul pengalaman dan berusaha untuk dapatkan mata (yang ditawarkan dalam kelompok penamat 15 terbaik). Kutipan mata itu bonus dan tentunya saya amat bersyukur sekiranya dapat meraihnya," katanya.

Musim kejuaraan dunia hanya sempat berlangsung di Grand Prix (GP) Qatar pada awal Mac lalu sebelum pusingan seterusnya terpaksa ditunda atau dibatalkan susulan wabak COVID-19 yang menular di seluruh dunia.

Di pusingan pembukaan di Litar Losail, Qatar itu, Kasma bagaimanapun tidak menamatkan perlumbaan susulan masih dalam pemulihan kecederaan di jari tangan kiri yang melandanya ketika sesi ujian persendirian pasukan di Litar Jerez, Februari lalu.

Malah kecederaan itu turut menutup peluang beliau untuk mendapatkan rentak di atas jentera Moto2 ketika sesi latihan rasmi pra musim di Litar Losail, yang berlangsung seminggu sebelum saingan musim di litar sama bermula.

Sementara itu, prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin berkata, pasukan tidak meletakkan sebarang sasaran untuk Kasma pada musim ini, namun andai dapat menemui garisan penamat di kelompok 15 terbaik, itu adalah satu kejayaan besar buat mereka.

"Tak ada sasaran untuk tahun ini. Cuma untuk memperbetulkan apa yang perlu. Perkara ini boleh dididik, dan dibentuk lagi. Kami menjangkakan tahun ini, sekiranya Kasma dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 terbaik, ia satu kejayaan yang amat besar.

"Ini bukan satu harapan kepadanya, tapi kami percaya dengan kebolehan, bakat yang ada dalam dirinya untuk dia berada di kedudukan itu," katanya.

Selain Kasma, turut bersaing dalam kelas Moto2 dunia musim ini adalah Hafizh Syahrin Abdullah yang turun ke saingan pertengahan selepas dua tahun menyertai kelas perdana, MotoGP.

Berita Harian X