Jumaat, 12 Jun 2020 | 7:23am

Musim MotoGP bermula di Jerez

PARIS: Musim MotoGP 2020 akan bermula pada 19 Julai di Sepanyol selepas perintah berkurung akibat COVID-19 dengan dua perlumbaan berturut-turut akan dilangsungkan di litar Jerez, umum penganjur hari ini.

Akan ada minimum 13 perlumbaan musim ini, semuanya di Eropah antara Julai dan November dan "kemungkinan empat lagi" di luar benua berkenaan hujung tahun nanti.

Sama ada penyokong boleh melihat perlumbaan terbabit akan bergantung kepada peraturan negara yang menjadi tuan rumah.

"Semua tarikh, acara dan kehadiran penonton bergantung kepada penilaian terhadap pandemik dan kebenaran daripada pihak kerajaan serta pihak berkuasa," kata kenyataan MotoGP.

Rabu lalu, Grand Prix Itali di Mugello menjadi perlumbaan kelapan musim ini dibatalkan kerana penularan COVID-19.

Pada asalnya musim ini dijadualkan bermula 8 Mac di Qatar, tetapi hanya membabitkan Moto2 dan Moto3.

Penganjur MotoGP, Dorna sedang menanti kerajaan Sepanyol untuk memberikan lampu hijau bagi perlumbaan di Jerez sebelum mengeluarkan jadual baharu. - AFP

Berita Harian X