Jumaat, 4 Ogos 2017 | 4:54pm
KETUA Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong . - Foto Owee Ah Chun.

KL2017: Zolkples yakin atlet olahraga menyerlah

PUTRAJAYA: Semua atlet kebangsaan yang akan mewakili negara ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan bermula dua minggu lagi termasuklah skuad olahraga negara kini sudah bersedia sepenuhnya meskipun ada yang belum dapat menguji venue sebenar untuk mendapatkan rentak sebenar.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong hari ini.

Selain itu, Zolkples turut optimis atlet olahraga mampu berikan keputusan terbaik meskipun tidak dapat menguji venue sebelum upacara perasmian.

"Kalau ikut persediaan untuk upacara perasmian, memang sekarang stadium tidak boleh digunakan sehingga tarikh perasmian 19 Ogos (Sabtu).

"Acara olahraga akan bermula pada 22 Ogos (Selasa) tapi apa pun sebelum ia ditutup banyak peluang untuk atlet berlatih.

"Mereka sudah bertanding di Pra-Sukan SEA (Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia) sebelum ini dan menguji trek itu yang mempunyai banyak kelebihan...buktinya Khairul Hafiz Jantan berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter.

"Jadi ia bukan perkara baharu untuk mereka kerana mereka sudah mengujinya, lagipun mereka sedang berlatih di trek di Majlis Sukan Negara (MSN), trek yang sama jadi tidak ada isu mengenainya," kata Zolkples ketika ditemui selepas Majlis Penajaan Syarikat Sony kepada temasya Kuala Lumpur 2017 di Lobi Kementerian Belia dan Sukan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Sebelum ini media melaporkan hasrat atlet olahraga untuk berlatih di trek Stadium Nasional untuk menyesuaikan diri namun tidak kesampaian apabila stadium utama itu kini dalam persiapan untuk upacara perasmian temasya Sukan SEA, 19 Ogos.

Sukan SEA Kuala Lumpur akan bermula secara rasmi pada 19 Ogos manakala acara olahraga dijadual bermula pada 22 hingga 26 Ogos ini.

Pasukan olahraga meletakkan sasaran dengan kutipan enam pingat emas di Sukan SEA kali ini dan diyakini mampu melebihi pencapaian tiga emas di Singapura dua tahun lalu.

Pada 2015, pingat emas disumbangkan menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

Berita Harian X