Rabu, 9 Ogos 2017 | 8:45pm
KETUA Kontinjen Sukan Sea 2017, Datuk Marina Chin (enam kanan belakang), bersama dengan pengurusan, jurulatih dan atlet olahraga Sukan Sea ketika sesi lawatan latihan atlet di Stadium Mini Majlis Sukan Nasional. - Foto Saifullizan Tamadi.

Jangan ganggu skuad olahraga: Marina Chin

KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin memohon semua pihak supaya tidak mengganggu persiapan atlet kebangsaan ketika berdepan detik getir menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang kini hanya berbaki sembilan hari saja lagi.

Ia termasuklah terus membangkitkan isu mengenai pengguguran atlet olahraga negara, S Komalam Shally daripada pasukan negara beberapa hari sebelum KL2017 kerana masalah disiplin.

"Benda ini sudah selesai dan saya merayu agar tidak dipanjangkan perkara ini (pengguguran atlet) termasuklah orang luar kerana ini adalah masa yang penting untuk mereka.

"Jangan ganggu mereka, biar jurulatih, atlet dan pegawai melakukan kerja mereka.

"Kita rakyat Malaysia mahukan mereka (atlet) melakukan yang terbaik, jadi mereka memerlukan suasana di mana mereka boleh memberikan tumpuan," katanya yang turut menolak untuk memanggil kembali S Komalam ke skuad negara memandangkan hanya tinggal baki sembilan hari lagi sebelum KL2017 membuka tirai.

Marina yang melakukan lawatan sesi latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil turut melontarkan keyakinan skuad olahraga negara mampu mencapai keputusan lebih baik, iaitu melebihi tiga pingat emas dilakar di Sukan SEA Singapura 2015.

Pada temasya dua tahun lalu, skuad olahraga membawa pulang emas menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi).

KL2017 akan bermula secara rasmi pada 19 Ogos manakala acara olahraga dijadual bermula pada 22 hingga 26 Ogos ini.

Berita Harian X