Ahad, 17 Jun 2018 | 12:43am
ZAINAL ABAS

Jaga pemakanan anda sepanjang Aidilfitri - Zainal

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga kebangsaan dinasihatkan agar menjaga selera dan nafsu pemakanan ketika menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas berkata atlet negara harus mengetahui cara pengambilan makanan secara sihat ketika musim perayaan, selepas diberi penerangan mengenai perkara itu dalam beberapa siri ceramah sebelum ini.

"Memang sukar untuk kawal pengambilan makanan selepas sebulan berpuasa...selepas sebulan berpuasa, sebulan kita berhari raya dengan makanan yang banyak.

"Jadi para atlet kena pastikan mereka menjaga daripada segi pemakanan yang diambil. Pastikan selepas dimakan, kita bakar tenaga-tenaga yang disimpan daripada pemakanan itu supaya ia tidak menjadi lemak," katanya.

Zainal menegaskan bahawa walaupun musim perayaan, atlet negara tidak boleh mengabaikan tanggungjawab sebagai untuk berada dalam tahap terbaik menjelang beberapa kejohanan penting dalam masa terdekat.

Katanya, bagi atlet junior, mereka perlu bersedia menghadapi Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN dari 19 hingga 23 Julai dengan Malaysia bakal menjadi tuan rumah buat kali kedua, diikuti Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak dari 14 hingga 22 September ini.

"Bagi atlet senior, perjuangan semestinya perlu diteruskan untuk Sukan Asia Jakarta-Palembang dari 18 Ogos hingga 2 September, di samping mempersiapkan diri untuk Sukan SEA 2019 di Filipina," katanya.

Berikutan itu, Zainal berkata atlet yang terbabit dengan Sukan Asia hanya diberikan cuti Aidilfitri lebih kurang empat atau lima hari, sebelum pulang ke Bukit Jalil pada Isnin ini, supaya dapat memulakan latihan seawal Selasa.

"Hari Raya hanya dua tiga hari sahaja kerana mereka bakal menghadapi Sukan Asia dalam masa dua bulan lagi. Mereka tidak boleh berehat terlalu lama kerana kami tidak banyak masa," katanya.

Buat masa ini, hanya tujuh atlet olahraga negara layak secara merit dalam Kategori A ke Sukan Asia, iaitu Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhd Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Nauraj Singh Randhawa, Lee Hup Wei (kedua-duanya lompat tinggi), Luqman Hakim Ramlan (lompat jauh), Zaidatul Husniah Zulkifli (100m) dan Norliyana Kamaruddin (heptathlon).

Perbelanjaan bagi atlet yang layak dalam Kategori A akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, manakala bagi atlet dalam Kategori B, persatuan sukan atau atlet yang terbabit perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri, tetapi kos itu akan dibayar balik sekiranya mereka meraih pingat.

Bagaimanapun, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yakin bahawa lebih banyak atlet negara akan melayakan diri ke Kategori A untuk ke temasya berkenaan menerusi program dan perancangan yang dirangka, terutamanya pasukan kuartet 4x100m lelaki dan pelari 110m lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian.

- BERNAMA

Berita Harian X