Jumaat, 13 September 2019 | 8:23pm
Ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil selepas sidang media KOM mengumumkan atlet ke Sukan SEA 2019 Filipina di Wisma MOM. - NSTP/Owee Ah Chun

KOM senarai 22 atlet kategori B

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil tindakan berani dengan menyenaraikan 22 atlet di bawah Kategori B berbanding 26 atlet yang tersenarai di dalam Kategori A pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Ketua jurulatih olahraga Mohd Manshahar Abd Jalil berkata, penyenaraian itu dilakukan berdasarkan potensi atlet di bawah Kategori B yang turut mampu menghadiahkan pingat buat negara tanpa mengira warna.

Untuk rekod Kategori B memerlukan persatuan sukan kebangsaan membayar sendiri pembiayaan atlet terbabit dan hanya akan dibayar semula oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) jika mereka memenangi pingat.

"Kita masukkan acara berganti-ganti yang kita jangka boleh bersaing dengan baik termasuklah 4x100m, 4x400m lelaki dan wanita serta 4x400m campuran. Jadi jumlah itu pasti bertambah disebabkan faktor ini,” kata Mansahar selepas sidang media pemilihan terakhir skuad olahraga negara pada edisi ke-30 Sukan SEA di sini hari ini.

"Ada juga atlet pemegang rekod kebangsaan dan pemenang pingat pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur yang tersenarai dalam Kategori B dan saya boleh katakan kebanyakannya berada di ranking keempat di peringkat Asia Tenggara. Jarak antara ranking keempat dan ketiga juga tidak begitu jauh berbeza, jadi besar kemungkinan mereka ini dapat capai sesuatu untuk negara."

Sebanyak 26 atlet diletakkan di bawah Kategori A termasuklah atlet lompat tinggi, Nauraj singh Randhawa, Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamshuddin (lempar cakera) dan Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar) sementara Kategori B menyenaraikan bekas raja pecut Sukan SEA lalu, Khairul Hafiz Jantan diturunkan dalam acara 4x100m, Prabudass Krishnan (1,500m, 5,000m, 10,000m), Iskandar Alwi (lompat bergalah).

Ketua jurulatih itu berkata dia menjangkakan acara berganti-ganti terutama 4x400m lelaki negara yang bakal mempertaruhkan Muhammad Saiful Safwan Saifuddin, Muhammad Ilham Suhaimi, Luqmanul Hakim Khairul Akmal dan Abdul Wafiy Roslan mempunyai peluang yang cerah untuk memberi kejutan nanti.

"Keempat-empat mereka ini adalah atlet muda dan mempunyai pengalaman yang cukup. Mereka juga memperoleh pingat gangsa pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Gifu, Jepun pada Jun tahun lalu," katanya.

Buat masa ini, kuartet 4x400m negara itu mempunyai catatan 3:09.00s untuk berada di ranking ketiga Asia Tenggara di belakang Thailand yang mempunyai rekod 3:06.78s dan Vietnam (3:08.53s). 

Terdahulu, Presiden KOM Datuk SM Muthu berkata sasaran lima pingat emas kekal diletakkan biarpun skuad olahraga negara mampu menghadiahkan lebih daripada itu berdasarkan statistik yang ada.

"Kami menjangkakan lima pingat emas dari  baling tukul besi negara, Jackie (Wong), lompat tinggi dari Nauraj dan Lee Hup Wei, Rayzam Shah, Hakimi dan juga Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru). Kami jangkakan boleh melebihi satu atau dua dari yang disasarkan," kata Muthu.

Skuad olahraga negara berjaya mengumpul lapan pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Berita Harian X