Ahad, 12 Januari 2020 | 5:52pm
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil. - Foto stadiumastro
Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil. - Foto stadiumastro

Poad tak terbabit gejala doping - Manshahar

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih olahraga negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil 'berani potong jari' bagi mempertahankan jurulatihya, Mohd Poad Md Kassim daripada isu doping atlet remaja yang menyelebungi sukan olahraga ketika ini. 

Manshahar berkata, dia sudah lama mengenali cara kerja Poad ketika menyertai banyak kejohanan besar di dalam dan luar negara sebelum ini.

Justeru  Manshahar menggesa satu siasatan terperinci dapat dilakukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum menjatuhkan sebarang hukuman.

"Saya yakin dan percaya Poad tak terbabit," kata Manshahar. "Dia tak terbabit dengan perkara sebegini. Saya amat mengenalinya. Sekiranya ada memerlukan sebarang pandangan mengenai makanan tambahan, dia akan menghubungi saya atau mana-mana pihak sepatutnya. 

"Dia akan perhalusi semuanya. Saya tahu Poad siapa, kejujuran dia dalam bekerja. Saya boleh potong jari (yang Poad tidak terbabit). Saya sudah bersamanya menyertai banyak kejohanan, tak ada yang sangkut pun."

Minggu lalu, sukan olahraga negara gempar dengan isu doping membabitkan atlet pecut muda negara berusia 17 tahun selepas didapati positif doping ketika menyertai Kejohanan Tertutup KOM 2019, Ogos lalu. 

Sampel air kencing atlet lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter itu didapati menggunakan dua bahan terlarang iaitu methasterone dan oxymetholone - sejenis steroid androgenik anabolik.

KOM sudah memanggil atlet berkenaan dan seorang jurulatih kebangsaan, masing-masing pada 26 Disember lalu dan Khamis lalu bagi sesi pendengaran pertama sebelum kedua-duanya dipanggil semula minggu ini bagi sesi kedua. 

Sekiranya didapati bersalah, atlet berkenaan bakal berdepan hukuman penggantungan selama empat tahun daripada menyertai sebarang kejohanan dalam dan luar negara. 

"Saya yakin Poad bersih daripada semua ini (isu doping). Banyak kemungkinan dan mungkin juga atlet berkenaan dapat daripada pihak lain. Saya yakin bukan daripadanya (makanan tambahan yang menyebabkan atlet positif doping)," kata Manshahar.

Berita Harian X