Jumaat, 16 March 2018 | 6:34pm
GOH Liu Ying (kanan) dan Chan Peng Soon boleh kembali mencari kejuaraan pada Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan. - Foto Rosli Rahmat
GOH Liu Ying (kanan) dan Chan Peng Soon boleh kembali mencari kejuaraan pada Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan. - Foto Rosli Rahmat

Peng Soon-Liu Ying akan bangkit

 

KUALA LUMPUR: Selepas persembahan buruk pada saingan di Eropah, pasangan beregu campuran kebangsaan, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berazam untuk bangkit dengan lebih baik.

Semalam, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu tersingkir daripada saingan All England di Birmingham, selepas tumbang 24-22, 22-20 kepada pasangan China, Zhang Nan-Li Yinhui pada pusingan kedua.

Awal minggu lalu, bekas pasangan nombor 1 negara itu, kandas pada pusingan pertama Terbuka Jerman di Mulheim.

Ketika dihubungi, Liu Ying yang kembali ke kejohanan kompetitif tahun ini selepas berehat hampir setengah tahun selepas pembedahan berkata: "Mendapatkan kembali perasaan menyertai kejohanan adalah sangat penting.

"Saya yakin dengan lebih banyak latihan dan pertandingan, kami akan menjadi lebih baik.

"Lagipun taktikal permainan ketika bertemu pasangan China semalam adalah bagus. Kesilapan pada saat penting memberi kesan kepada kami.

"Kami terlalu mahukan kemenangan, jadi kami menerima balasannya."

Peng Soon-Liu Ying yang menjuarai Terbuka Thailand (Januari), selepas kembali disatukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), boleh kembali mencari kejuaraan pada Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Mereka dinamakan dalam skuad bersama rakan sepasukan yang juga pasangan nombor 1 negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, yang menang Terbuka Jerman minggu lalu.

Sementara itu bekas pemain nombor 1 dunia Lee Chong Wei, akan berdepan pencabar utama yang juga juara dunia lima kali, Lin Dan dari China pada suku akhir All England awal pagi esok.

Selain itu, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, akan bertemu pilihan kedua, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Berita Harian X