Ahad, 12 Januari 2020 | 7:06pm
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan (kanan) dan Lee Zii Jia. - Foto NSTP
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan (kanan) dan Lee Zii Jia. - Foto NSTP

Hendrawan persiapkan Zii Jia muncul juara dunia

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan masih belum berputus asa dengan impiannya untuk melahirkan juara dunia atau Olimpik dalam kalangan pemain badminton Malaysia.

Walaupun misi berkenaan masih gagal dicapai selepas 10 tahun berkhidmat sebagai jurulatih skuad kebangsaan sejak 2009, namun bekas juara dunia 2001 dari Indonesia itu masih enggan mengangkat bendera putih.

Kali ini, Lee Zii Jia menjadi fokus buat Hendrawan untuk dibentuk bagi merealisasikan impian berkenaan.

"Janji saya sejak dari dulu lagi untuk melahirkan juara dunia atau Olimpik dari Malaysia tidak pernah berubah. Saya akan berusaha yang terbaik bagi mencapainya," kata Hendrawan.

Pencapaian terbaik jurulatih berusia 48 tahun itu setakat ini adalah membawa bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei muncul naib juara dunia 2015 dan meraih perak Olimpik Rio 2016.

Kali ini, dia diberikan tanggungawab untuk membimbing Zii Jia bagi bergelar jaguh dunia sejak enam bulan yang lalu.

Hendrawan gembira dengan peningkatan yang dipamerkan pemain berusia 22 tahun itu yang turut menyaksikan dia berjaya mara sehingga separuh akhir Masters Malaysia, semalam.

Perjalanan Zii Jia terhenti selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

"Kalau berdepan perlawanan dengan Momota memang kita akui jurangnya masih jauh dengan lawan itu. Kita tahu Momota berada pada satu tahap di atas berbanding pemain lain.

"Namun, secara keseluruhannya memang ada peningkatan tetapi saya harap semua pihak bersabar. Mungkin kita lihat hari ini dia bagus tetapi belum tentu semuanya bagus dalam perjalanannya untuk melangkah ke depan," katanya.

Berbaki enam bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula pada Julai depan, Hendrawan percaya untuk anak buahnya itu meraih pingat tetap ada untuk sekurang-kurangnya meraih pingat.

"Jujur saya katakan, fokus kita adalah bagi mempersiapkan Zii Jia menghadapi Olimpik 2024 di Paris. Olimpik kali ini bagus untuk Zii Jia merasai pengalaman beraksi pada temaysa terbesar dunia itu.

"Namun, melihat penampilan Zii Jia hari ini dan kematangan yang ditunjukkannya, saya akan cuba yang terbaik bagi mempersiapkan dia dalam tempoh enam bulan yang ada ini kerana apa jua perkara boleh berlaku," kata Hendrawan.

Berita Harian X