Rabu, 19 Februari 2020 | 7:58pm
Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Soon Huat-Shevon tak berpeluh

KUALA LUMPUR: Seperti diramal, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tidak berdepan masalah mengesahkan slot ke pusingan kedua Masters Sepanyol di Barcelona, hari ini.

Tampil sebagai pilihan pertama, pasangan ranking nombor sembilan dunia itu mudah menundukkan gandingan campuran dari Israel dan Belarus, Misha Zilberman-Katsiaryna Zablotskaya 21-12, 21-11 dalam aksi pusingan pertama.

Kemenangan itu bakal menyaksikan Soon Huat-Shevon menempah pertemuan dengan Pranaav Jerry Chopra-Reddy N Sikki bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Kejohanan di Barcelona itu dianggap peluang terbaik buat Soon Huat-Shevon untuk melakar kejuaraan sulung tahun ini berdasarkan status sebagai pilihan pertama.

Hanya dua pencabar yang dilihat mampu menggugat misi pasangan negara itu iaitu beregu England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock yang dijangka ditemui sekiranya layak ke separuh akhir manakala rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tampil sebagai pilihan kedua kemungkinan menjadi lawan jika masing-masing mara ke final.

Jika muncul juara di Barcelona, ia bakal membantu pasangan negara itu membantu memperbaiki kedudukan ranking kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas ketika ini masih ketinggalan di belakang pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Soon Huat-Shevon ketika ini berada di kedudukan ke-10 ranking kelayakan ke Tokyo, tiga kedudukan di belakang Peng Soong-Liu Ying dan tiga kedudukan di depan Kian Meng-Pei Jing.

Setiap negara dibenarkan mempunyai wakil di Olimpik sekiranya kedua-dua pasangan berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan, hujung April depan.

Berita Harian X