Ahad, 29 March 2020 | 8:36am
Gambar fail, Naomi Osaka sewaktu beraksi Pusingan Pertama Kelayakan Piala Fed antara Sepanyol dan Jepun di Kelab La Manga di Cartagena, Colombia Februari lalu. - Foto AFP
Gambar fail, Naomi Osaka sewaktu beraksi Pusingan Pertama Kelayakan Piala Fed antara Sepanyol dan Jepun di Kelab La Manga di Cartagena, Colombia Februari lalu. - Foto AFP

Osaka sokong Olimpik Tokyo 2020 ditunda

WASHINGTON: Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka mengakui kecewa tidak dapat beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun ini tetapi menyokong keputusan temasya itu ditangguhkan ke 2021.

Pemain berusia 22 tahun itu yang juga bekas pemain nombor satu dunia, berkata tindakan menangguhkan temasya berkenaan selama setahun adalah sesuatu yang tepat susulan penularan COVID-19.

"Sukan akan sekali lagi menyatukan kita semua dan sentiasalah bersama kami namun masanya bukan sekarang," kata Osaka menerusi ciapan di Twitter miliknya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersetuju untuk menunda Olimpik Tokyo 2020 selepas atlet seluruh dunia menyuarakan kebimbangan terhadap usaha untuk meneruskan temasya berkenaan biarpun berdepan risiko  tinggi.

"Semua orang tahu betapa besarnya makna Olimpik kepada saya dan betapa bangganya saya dapat beraksi di negara saya sendiri. Sudah pasti saya kecewa kerana ia tidak akan berlangsung tahun ini.

"Namun, kami semua akan bersedia sepenuhnya untuk tampil lebih kuat pada 2021. Saya menyokong 100 peratus kepjutusan berani yang dibuat Perdana Menteri, Abe dan IOC," kata Osaka.

Osaka yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat 2018 dan Terbuka Austalia 2019 meminta seluruh rakyat Jepun untuk terus tabah dalam mengharungi situasi ini.

"Ini adalah masa untuk semua orang diseluruh dunia tidak kira latar belakang dan kaum untuk bersatu bagi menyelamatkan sebanyak mana nyawa yang boleh.

"Bagi saya, itu adalah erti sebenar Olimpik," katanya. - AFP

 

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X