Ahad, 29 March 2020 | 5:28pm
Aksi Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada Masters Malaysia 2019, Januari lalu.
Aksi Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada Masters Malaysia 2019, Januari lalu.

Zii Jia kongsi hajat sempena hari jadi

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-22, hari ini memasang hajat melonjakkan rankingnya dalam kelompok lima terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu bagaimanapun sedar ia bukan tugas mudah tetapi menegaskan akan bekerja keras bagi merealisasikan matlamatnya itu sekali gus membuka laluan yang lebih mudah bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo.

Minggu lalu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach mengumumkan penangguhan temasya itu susulan penularan COVID-19 dengan ia dijangka berlangsung pada Julai 2021.

Situasi itu pastinya memberi lebih banyak masa buat Zii Jia yang kini berada kedudukan ke-10 dunia bagi melakukan persiapan sekali gus tampil sebagai pencabar utama memenangi pingat pada temasya berprestij itu.

"Saya harap saya boleh menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik dunia tahun ini. Saya juga harap mampu menghasilkan keputusan yang baik pada Sukan Olimpik nanti," kata Zii Jia ketika ditanya mengenai hajatnya sempena ulang tahun kelahirannya itu.

Jika keputusan pada saingan Seluruh England di Birmingham, awal bulan ini dijadikan sebagai penanda aras, bukan sesuatu yang mustahil melihat Zii Jia sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Olimpik nanti.

Malah, dengan tempoh persiapan yang lebih lama sebelum menghadapi temasya itu, Zii Jia turut berpeluang mengintai tempat ke final.

Pada saingan di Birmingham, anak didik Hendrawan itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya mara sehingga separuh akhir sebelum tewas di tangan idolanya yang juga bekas juara dunia, Viktor Axelsen dari Denmark dalam aksi penuh dramatik.

Bagaimanapun, dia melakar kejutan menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Indonesia, Jonatan Christie selain bintang sensasi China yang juga juara Olimpik Rio 2016, Chen Long dalam laluannya ke separuh akhir.

Mengulas mengenai aktivitinya selama dua minggu tidak menjalani latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan, Zii Jia yang berada di kediaman keluarganya di Alor Setar, Kedah berkata dia tetap memastikan tahap kecergasannya berada pada tahap tertinggi.

"Saya menjalani latihan sendiri di rumah dengan melakukan program latihan kecergasan yang diberikan jurulatih. Memang gian untuk turun ke gelanggang selepas dua minggu tidak menjalani latihan tetapi saya tetap pastikan saya kekal cergas," katanya.

Berita Harian X