Isnin, 30 March 2020 | 12:57pm
BEREGU lelaki Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. - Foto Ihsan Youtube
BEREGU lelaki Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. - Foto Ihsan Youtube

Misi besar Ahsan-Hendra

JAKARTA: Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo tidak mematahkan semangat beregu lelaki Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dalam misi mereka menjadi pasangan tertua memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.

Sebaliknya, pasangan nombor dua dunia itu tetap bersemangat untuk mengekalkan tahap kecergasan dengan melakukan perubahan dalam program latihan mereka.

Tarikh baharu Olimpik Tokyo masih belum diputuskan tetapi media Jepun melaporkan ia dijangka berlangsung pada Julai tahun depan.

Ahsan-Hendra atau dikenali dengan gelaran 'Daddies' mempamerkan prestasi menakjubkan apabila hanya tewas tiga perlawanan tahun ini.

Jurulatih, Herry Iman Pierngadi mengakui tidak pasti sama ada pasangan itu mampu mengekalkan prestasi dan kecergasan mereka sehingga tahun depan.

"Usia mereka semakin meningkat dan sudah sukar untuk mereka mengekalkan tahap kecergasan terutama aspek fizikal. Jadi, persiapannya perlu istimewa," kata Herry yang dipetik menerusi portal detikSport.

Ahsan-Hendra masing-masing berusia 32 dan 35 tahun mencetuskan kebangkitan luar biasa selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada Olimpik Rio 2016.

Pasangan itu muncul juara dunia buat kali ketiga di Basel tahun lalu sebelum menjuarai Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou.

Hendra, berkata masih ada masa untuk mereka melakukan persiapan bagi menghadapi Olimpik tahun depan.

Kemenangan akan menyaksikan mereka menjadi pasangan tertua memenangi emas dalam sukan badminton manakala Hendra akan menjadi pemain tertua muncul juara.

Pemain China, Zhang Ning berusia 33 tahun ketika dia memenangi emas perseorangan wanita pada Olimpik Beijing 2008.

"Olimpik adalah sasaran utama kami. Kami hanya perlu mencari jalan untuk kekal pada tahap prestasi terbaik sehingga tahun depan," katanya. - Reuters

 

 

Berita Harian X