Isnin, 30 March 2020 | 8:08pm
Rashid percaya Zii Jia mampu capai kemuncak prestasi di Tokyo.
Rashid percaya Zii Jia mampu capai kemuncak prestasi di Tokyo.

Usah terkejut Zii Jia raih emas

KUALA LUMPUR: Rashid Sidek percaya penangguhan Sukan Olimpik Tokyo selama setahun bakal memberi impak besar buat pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Malah, legenda badminton itu berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya pemain berusia 22 tahun itu berjaya menyumbang pingat emas buat kontinjen Malaysia kerana dia memiliki kualiti melakukannya.

Katanya, jika sebelum ini bintang Jepun, Kento Momota disebut-sebut sebagai pilihan utama memenangi emas di Tokyo, namun situasi kini sudah berubah.

Ini selepas pemain nombor satu dunia itu mengalami kemalangan jalan raya sebaik tamat Masters Malaysia, Januari lalu dan masih dalam proses pemulihan.

"Peluang sekarang adalah terbuka membabitkan semua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia termasuklah Zii Jia.

"Kita masih belum tahu perkembangan Momota sehingga dia beraksi dalam kejohanan pertamanya.

"Persoalannya sekarang adakah dia mampu kembali beraksi pada tahap prestasi terbaiknya seperti sebelum ini.

"Jadi, saya fikir Zii Jia akan mendapat manfaat yang lebih susulan penangguhan Olimpik kali ini. Berbanding Momota dan pemain lain dalam kelompok 10 terbaik dunia, Zii Jia memang dalam proses untuk meningkat naik.

"Dalam tempoh setahun ini apa jua boleh berlaku. Satu lagi kelebihan, usianya masih muda dan jika Olimpik berlangsung tahun depan dia baru berusia 23 tahun.

"Saya percaya dia akan mencapai kemuncak prestasinya pada usia itu.

"Jika kita lihat, Viktor Axelsen (pemain Denmark) menang gangsa pada Olimpik Rio 2016 adalah pada usia 22 tahun. Jadi, kenapa pula Zii Jia tidak boleh dan dia ada potensi mencapai kejayaan lebih baik," kata Rashid kepada BH Sukan.

Walaupun masih belum ada keputusan muktamad mengenai tarikh baharu Olimpik Tokyo, namun temasya itu dijangka berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

Bagaimanapun, Rashid berharap Zii Jia tidak diletakkan bebanan tinggi bagi memenangi emas buat kontinjen Malaysia, sebaliknya memberinya ruang mempersiapkan diri menggalas tanggungjawab di Tokyo.

"Jika dia berjaya menang gangsa pun sudah dikira pencapaian yang cukup baik. Sebelum ini, kita bimbang tanpa Datuk Lee Chong Wei kita tidak boleh menang pingat di Olimpik.

"Namun, Zii Jia berpotensi meneruskan legasi Chong Wei dengan syarat dia terus bekerja keras memperbaiki kelemahannya dan mempertingkatkan lagi kekuatannya," kata bekas ketua jurulatih kebangsaan itu.

Berita Harian X