Khamis, 2 April 2020 | 8:49am

Federer, Serena terkejut Wimbledon batal

LONDON: Bekas juara Roger Federer berkata hatinya hancur luluh apabila Wimbledon dibatalkan buat pertama kali sejak Perang Dunia Kedua kerana pandemik COVID-19.

Bos Wimbledon membatalkan kejohanan Grand Slam tertua itu semalam susulan kepada krisis global berpunca daripada virus mengancam nyawa itu.

Federer, yang mencatat rekod lapan kejuaraan perseorangan lelaki di Wimbledon, dalam ciapannya menulis: “hancur luluh”.

Serena Williams, juara tujuh kali perseorangan wanita Wimbledon, turut terkejut dengan berita berkenaan dan menulis: “Saya terkejut”.

Federer dan Serena bakal mencecah usia 40 tahun menjelang kejuaraan tahun depan.

Wimbledon dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 29 Jun ini dengan Novak Djokovic dan Simona Halep sepatutnya turun mempertahankan kejuaraan perseorangan masing-masing.

Namun ketua Kelab All England tiada pilihan selain membatalkan kejohanan di atas permukaan rumput itu - yang kali pertama diadakan pada tahun 1877.

Halep, bintang Romania yang menewaskan Serena untuk gelaran Wimbledon pertamanya berkata: “Saya amat sedih mendengar Wimbledon tidak akan diadakan tahun ini.

“Final tahun lalu adalah hari paling gembira dalam hidup saya! Tetapi kita sedang berdepan sesuatu yang lebih besar daripada tenis dan Wimbledon akan kembali!

“Dan ia bermakna saya mempunyai tempoh lebih panjang untuk persiapan mempertahankan gelaran saya.” - AFP

Berita Harian X