Rabu, 8 April 2020 | 8:00pm
LIU YING percaya pengalaman mampu jadi kelebihan di Tokyo.
LIU YING percaya pengalaman mampu jadi kelebihan di Tokyo.

Liu Ying tak bimbang faktor usia

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional, Goh Liu Ying percaya faktor usia yang semakin meningkat tidak akan menjadi penghalang buat dia dan pasangannya, Chan Peng Soon dalam merealisasikan impian menambah koleksi pingat menjelang Sukan Olimpik Tokyo.

Walaupun temasya itu ditangguhkan setahun susulan pandemik COVID-19, namun Liu Ying tetap optimis dia dan Peng Soon mampu mempamerkan prestasi terbaik.

Liu Ying akan berusia 32 tahun manakala Peng Soon 33 tahun apabila Olimpik Tokyo berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos tahun depan.

“Sudah pasti pemain lebih muda akan mendapat kelebihan daripada penangguhan ini tetapi kami juga ada kelebihan tersendiri termasuk aspek pengalaman kami.

“Selagi kami mampu mengekalkan momentum dan proses pemulihan kecergasan berjalan dengan baik, saya fikir tiada masalah untuk kami. Lagipun, tempoh setahun penangguhan tidak lama,” kata Liu Ying kepada BH Sukan.

Peng Soon-Liu Ying turut mendapat tonik terbaik sebagai persiapan ke Tokyo selepas jenama sukan terkenal, Li Ning melanjutkan kontrak mereka setahun lagi, minggu lalu.

Sebagai rekod, Peng Soong-Liu Ying yang kini berada di kedudukan ranking nombor tujuh dunia berjaya mencipta kejutan apabila membawa pulang pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

Dalam pada itu, Liu Ying mengakui program latihan mereka terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 apabila hanya boleh melakukan senaman di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasannya.

“Memang terjejas sebab selalu kami menjalani latihan penuh di gelanggang. Lagipun, peralatan agak terhad di rumah dan tidak banyak yang boleh dilakukan, cuma buat apa yang boleh dilakukan saja.

“Apa pun, saya menyokong langkah kerajaan ini kerana apa yang penting sekarang kita memerangi wabak ini dulu demi keselamatan semua. Selepas ini, kami boleh fokus kepada latihan semula, tiada masalah,” katanya

Berita Harian X