Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:10pm
Ashley Cooper.
Ashley Cooper.

Legenda tenis Australia meninggal

SYDNEY: Pemenang kejohanan Grand Slam lapan kali, Ashley Cooper meninggal dunia pada usia 83 tahun, kata Tennis Australia, hari ini.

Bekas pemegang gelaran Terbuka Australia, Wimbledon dan Amerika Syarikat (AS) itu adalah sebahagian dari era kegemilangan tenis lelaki Australia pada 1950-an apabila memenangi empat gelaran utama perseorangan dan empat dalam acara beregu.

Bersaing dengan rakan hebat Australia lain, termasuk Rod Laver, Lew Hoad, Ken Rosewall dan Neale Fraser, Cooper memenangi tiga gelaran perseorangan pada tahun 1958, apabila menawan Wimbledon, serta kejuaraan di Australia dan AS.

Tenis Australia berkata Cooper akan dikenang sebagai "gergasi sama ada sebagai pemain yang hebat dan pentadbir yang bagus."

"Ashley juga juara yang paling merendah diri dan ketua keluarga yang hebat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tenis Australia, Craig Tiley.

- AFP

Berita Harian X