Ahad, 24 Mei 2020 | 4:10pm
Datuk Lee Chong Wei. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Datuk Lee Chong Wei. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Kita 'restart' ya... kosong-kosong - Chong Wei

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei mengimbau zaman kanak-kanaknya menyambut Aidilfitri bersama rakan beragama Islam sekali gus memperlihatkan betapa rakyat Malaysia saling menghormati antara satu sama lain.

Ikon badminton negara itu berkata, beliau turut pernah mengikut ibu bapanya berkunjung ke rumah terbuka Aidilfitri dengan juadah kegemaran paling dinantikannya, kuih batik.

"Masih ingat zaman kanak-kanak, apabila tiba hari raya, ibu bapa akan bawa saya ke rumah terbuka saudara beragama Islam dan rumah jiran-jiran melayu. Tidak kisahlah rumah pertama itu rumah siapa, pasti ada rendang ayam, serunding sambal sotong dan ketupat.

"Sedapnya. Ada lagi kuih batik!. Aduhai, keluar pula air liur apabila terfikir mengenainya. Kemudian di sebelah petang, ikut jiran melayu bermain mercun. Saya ingat mercun Cina paling hebat, melompat saya apabila tengok meriam mercun mereka.

"Mereka kata meriam (buatan) mereka mesti hebat untuk menjaga maruah kampung kita!. Memang seronok. Tapi itu masa dulu-dulu kawan-kawan. Budak-budak sekarang jangan main mercun, bahaya!," kata Chong Wei dalam akaun Instagramnya.

Chong Wei yang meraih pingat perak di tiga temasya Sukan Olimpik turut menceritakan pengalamannya ketika memasuki sekolah sukan yang baginya satu kenangan terindah dalam hidupnya.

"Apabila memasuki sekolah sukan, masa raya kantin akan sediakan hidangan raya istimewa. Rombongan beramai-ramai berbaju raya menyerbu rumah terbuka jurulatih. Itu semua kenangan terindah.

"Saya juga ingat masa belasan tahun, ada perseilihan faham dengan seorang pemain Indonesia. Tak pasti siapa yang betul atau siapa salah. Apabila berjumpa di gelanggang, masing-masing pandang dengan 'panas', dua-dua tak puashati.

"Namun apabila tiba hari raya, rakan sepasukan menasihatkan supaya saya menghantar mesej raya kepadanya. Saya pun mesej 'selamat hari raya. Macam sukan badminton, kita 'restart' kosong-kosong pak. Maaf zahir dan batin.' Dari saat itu sampailah sekarang, kami masih berkawan baik.

"Kawan-kawan semua, saya faham semua berasa sedih kerana raya kali ini mungkin terjejas disebabkan coronavirus. Saya hanya boleh menasihatkan semua supaya bersabar. Kesabaran tahun ini bakal dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun yang akan mendatang untuk anak cucu kita, seperti mana kamu menikmati suasana raya ketika dulu-dulu.

"Saya, @wongmewchoo (isteri) dan dua anak lelaki @kingstonleekc, @terrance_leekj ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul sepuluh jari, meminta ampun serta mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita 'restart' ya... kosong-kosong," katanya.

Berita Harian X