Rabu, 27 Mei 2020 | 9:27pm
Paulus kena bantu Soon Huat-Shevon layak ke Tokyo.
Paulus kena bantu Soon Huat-Shevon layak ke Tokyo.

Paulus galas misi khas

KUALA LUMPUR: 'Magis' ketua jurulatih beregu campuran negara yang baharu, Paulus Firman ditagih bagi memastikan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie layak ke Sukan Olimpik Tokyo.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya Soon Huat-Shevon masih berpeluang layak ke Tokyo ketika pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying hanpir pasti mengesahkan slot ke temasya berprestij dunia itu.

"Memang salah satu harapan yang kita letakkan kepada Paulus adalah untuk membantu Soon Huat-Shevon layak ke Sukan Olimpik. Kita percaya pasangan ini masih ada peluang dan masa untuk mereka layak ke Sukan Olimpik," kata Choong Hann.

Peng Soon-Liu Ying ketika ini mendahului perebutan tempat ke Tokyo apabila berada di kedudukan ketujuh ranking kelayakan Sukan Olimpik manakala Soon Huat-Shevon di tangga ke-11.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik yang mana ketika ini ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

Menerusi penstrukturan semula jurulatih yang diumumkan BAM, dua minggu lalu, Paulus yang sebelum ini memikul tugas selaku ketua jurulatih beregu lelaki ditukarkan untuk mengetuai skuad beregu campuran.

Dia akan dibantu seorang lagi jurulatih iaitu Teo Kok Siang.

Ketika bersama skuad beregu lelaki, Paulus berjaya meningkatkan prestasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang kini berada di kedudukan nombor sembilan dunia selain muncul naib juara Seluruh England 2019.

Mengulas lanjut, Choong Hann, berkata Paulus juga diberi tanggungjawab mempersiapkan pasangan muda untuk bersedia memikul peranan yang lebih besar sebagai wakil negara.

"Sudah tiba masanya pasangan muda seperti Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tan Jie-Peck Yen Wei untuk lebih menyerlah dan menunjukkan kewibawaan masing-masing.

"Setakat ini, skuad beregu campuran kita masih dianggap kecil dan kita perlu cuba untuk memperkuatkan bukan sahaja dari aspek kualiti tetapi kuantiti juga," katanya.

Berita Harian X