Khamis, 28 Mei 2020 | 5:20pm
Choong Hann (dua dari kiri) akan buat perancangan mengenai pemilihan kejohanan yang akan disertai pemain.
Choong Hann (dua dari kiri) akan buat perancangan mengenai pemilihan kejohanan yang akan disertai pemain.

Keputusan BWF adil

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyambut baik ketetapan dibuat Persekutuan Badminton Malaysia (BWF) berhubung pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo yang sebelum ini ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.

BWF dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, badan induk itu akan melanjutkan tempoh kelayakan Sukan Olimpik bermula minggu pertama hingga ke-17 2021, merangkumi kejohanan terpilih yang ditunda, dibatal atau digantung susulan pandemik COVID-19.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann menyifatkan ia keputusan yang adil dan memberi talian hayat kepada pemain yang masih berpeluang memburu tempat ke Tokyo.

"Saya fikir tidak timbul sebarang isu dalam hal ini. Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah merancang program pemulihan pemain (selepas lama tidak berlatih susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan sejak 18 Mac lalu).

"Selain itu, kita akan membuat perancangan mengenai pemilihan kejohanan yang akan disertai pemain nanti," kata Choong Hann kepada BH Sukan.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pastinya antara yang lega dengan keputusan BWF itu dalam memburu slot kedua bagi acara itu ketika pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying hampir pasti ke Tokyo.

Peng Soon-Liu Ying ketika ini mendahului perebutan tempat ke Tokyo apabila berada di kedudukan ketujuh ranking kelayakan ke Sukan Olimpik manakala Soon Huat-Shevon di tangga ke-11.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil bagi acara beregu sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

Tiga lagi wakil negara iaitu perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, perseorangan wanita, Soniia Cheah dan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean turut berada di landasan tepat bagi melayakkan diri beraksi buat pertama kali pada Sukan Olimpik.

Berita Harian X