X
Khamis, 28 Mei 2020 | 8:18pm
Shevon tak boleh lapor diri kem latihan pusat RTT Isnin ini.
Shevon tak boleh lapor diri kem latihan pusat RTT Isnin ini.

Shevon kena 'gantung raket' dua minggu lagi

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Shevon Lai Jemie dimasukkan ke hospital, hari ini selepas disahkan menghidap demam denggi.

Perkara berkenaan dimaklumkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi kenyataan ringkas di laman media sosial rasmi badan induk itu, sebentar tadi.

Situasi itu menyaksikan Shevon yang berpasangan dengan Goh Soon Huat akan terlepas kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) yang dijadual melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Isnin ini.

"Pemain berusia 27 tahun itu dijangka perlu berehat selama dua minggu dan hanya akan menyertai latihan pusat RTT di ABM apabila dia benar-benar pulih sepenuhnya," kata kenyataan BAM.

Soon Huat-Shevon ketika ini dalam misi memburu slot kedua bagi acara itu untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo ketika pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying hampir pasti layak ke temasya berprestij itu.

Peng Soon-Liu Ying ketika ini mendahului perebutan tempat ke Tokyo apabila berada di kedudukan ketujuh ranking kelayakan ke Sukan Olimpik manakala Soon Huat-Shevon di tangga ke-11.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil bagi acara beregu sekiranya berada dalam kelompok lapan terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

Berita Harian X