Jumaat, 12 Jun 2020 | 10:02pm
BAM sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada bagi membolehkan skuad pelapis kebangsaan kembali menjalani latihan. - Foto fail NSTP
BAM sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada bagi membolehkan skuad pelapis kebangsaan kembali menjalani latihan. - Foto fail NSTP

BAM cari gelanggang sementara

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada bagi membolehkan skuad pelapis kebangsaan kembali menjalani latihan dalam masa terdekat.

Ia termasuklah menggunakan Stadium Juara Bukit Kiara sebagai pusat latihan sementara buat pemain muda negara.

Ketika ini, hanya pemain yang berada dalam program Road to Tokyo (RTT) sudah kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara sejak 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi kem latihan RTT, pemain lain tidak boleh menjalani latihan bersama biarpun kerajaan memberi kelonggaran bermula Isnin ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkata pihaknya ketika ini sedang berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi merangka SOP untuk membolehkan skuad pelapis kebangsaan kembali berlatih termasuklah mencari tempat latihan sementara.

"Saya difahamkan, kami tidak boleh membenarkan pemain lain berlatih bersama dengan pemain RTT kerana mereka sudah menjalani kuarantin. Tahap keselamatan dan kebajikan pemain adalah keutamaan kami.

"Kami akan terus memantau situasi semasa dan dalam masa sama memantau perkembangan program latihan RTT. Adalah penting untuk kami memastikan program latihan RTT berjaya dari aspek latihan dan pematuhan SOP.

"Untuk pemain lain, kami sedang mempertimbangkan semua pilihan yang ada termasuklah mencari tempat latihan sementara. Setakat ini, Stadium Juara antara pilihan yang ada namun penginapan pemain juga perlu difikirkan.

"Jika mahu menggunakan penginapan di ABM, kami perlu mengkaji semula pergerakan pemain dalam ABM dan pengasingan bilik. Namun, kami perlu berbincang dengan MSN agar kami tidak melanggar SOP," katanya kepada BH Sukan.

Stadium Juara sememangnya bukan asing buat skuad badminton kebangsaan kerana ia adalah pusat latihan utama negara sebelum berpindah ke ABM pada 2017.

Berita Harian X