Isnin, 22 Jun 2020 | 4:47pm
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.
PENGARAH Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Choong Hann puas hati disiplin peserta RTT

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara yang menyertai latihan pusat Road to Tokyo (RTT) menunjukkan disiplin tinggi apabila mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sejak mula melaporkan diri pada 1 Jun lalu.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata selepas tiga minggu berkampung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, di sini, pemain dapat menyesuaikan diri dengan SOP dengan baik.

Malah, dia berpuas hati dengan perkembangan ditunjukkan pemain ketika ini.

"Pemain menunjukkan semangat tinggi apabila dapat berlatih di gelanggang (selepas tiga bulan latihan terpaksa ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.)

"Sepanjang tiga minggu ini, pemain melalui fasa pemulihan. Saya gembira melihat moral pemain pada tahap terbaik.

"Ada dua sasaran utama yang ingin dicapai sepanjang latihan pusat RTT ini. Pertama, adalah bagi mengembalikan prestasi pemain seperti sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

"Kedua, bagi meningkatkan kemahiran mereka yang turut membabitkan kekuatan keseluruhan pemain," kata Choong Hann.

Seramai 39 individu termasuk pemain, rakan sepelatih, jurulatih dan pegawai sokongan terbabit dengan kem latihan pusat di ABM selepas kerajaan memberi kelonggaran bagi persiapan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, semua yang terbabit perlu mematuhi SOP yang ketat termasuk menggunakan pendekatan berasaskan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi.

Mereka juga perlu melakukan ujian calitan pada hari pertama, kelima dan ke-13.

Berita Harian X