Isnin, 10 Julai 2017 | 7:31pm

Budak lelaki kritikal disyaki mangsa dera

ABDUL Wahib (tiga dari kiri) bercakap dengan doktor dan kakitangan ketika melawat Muhamad Al Fateh di HSNI, Batu Pahat. - Foto ihsan PDRM
ABDUL Wahib (tiga dari kiri) bercakap dengan doktor dan kakitangan ketika melawat Muhamad Al Fateh di HSNI, Batu Pahat. - Foto ihsan PDRM

BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun sembilan bulan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, selepas dipercayai didera keluarga angkatnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata Muhamad Al Fateh Abdullah yang kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan, dibawa ke HSNI pada Rabu lalu oleh seorang wanita berusia 34 tahun selepas didakwa mengalami masalah sawan.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima panggilan dari HSNI pada jam 2.40 petang semalam memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki didera menerima rawatan di hospital berkenaan.

"Semakan rekod HSNI mendapati, ia adalah kali ketiga kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital berkenaan dan disyaki wujud unsur penderaan susulan beberapa kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh badan mangsa.

"Mangsa dalam keadaan kritikal ketika ini dan turut bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selain dikatakan mengalami sawan yang terlalu lama sehingga tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati kesan kulit melecur di tapak tangan dan tapak kaki kanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, polis menahan wanita terbabit bersama suaminya berusia 30 tahun dipercayai keluarga angkat mangsa untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun.

Berita Harian X