Selasa, 11 Julai 2017 | 11:33am

Kes dera, polis cari remaja 14 tahun

KETUA Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa (tiga dari kiri, baris belakang) bercakap dengan doktor dan kakitangan ketika melawat kanak-kanak mangsa dera di Sultanah Nora Hospital Ismail (HSNI), Batu Pahat. - Foto ihsan PDRM
KETUA Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa (tiga dari kiri, baris belakang) bercakap dengan doktor dan kakitangan ketika melawat kanak-kanak mangsa dera di Sultanah Nora Hospital Ismail (HSNI), Batu Pahat. - Foto ihsan PDRM

BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun akan ditahan bagi membantu siasatan kes dera kanak-kanak lelaki berusia 21 bulan yang kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.

Muhamad Al Fateh Abdullah yang kini bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dibawa ke HSNI sejak enam hari lalu oleh ibu angkatnya berikutan masalah sawan sebelum pihak hospital yang menemui kesan penderaan memaklumkan polis, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata remaja lelaki berkenaan adalah anak sulung kepada keluarga angkat yang menjaga kanak-kanak malang itu.

"Polis dalam proses menahan remaja lelaki berkenaan dalam masa terdekat berikutan dipercayai terbabit mendera kanak-kanak lelaki yang di bawah jagaan keluarganya itu.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa adik remaja berkenaan yang dipercayai turut mendera kanak-kanak malang itu.

"Keadaan kanak-kanak lelaki itu juga masih kritikal dan di bawah pengawasan rapi HSNI," katanya ketika dihubungi.

Semalam, ibu bapa angkat kanak-kanak malang yang masing-masing berusia 34 dan 30 tahun ini ditahan di kediaman mereka di Rengit, dekat sini, sebelum direman bagi membantu siasatan.

Hasil semakan rekod HSNI mendapati kanak-kanak itu sudah tiga kali dimasukkan ke hospital itu akibat pelbagai komplikasi kesihatan termasuk sawan sehingga tidak sedarkan diri dan disyaki wujud unsur penderaan apabila terdapat beberapa kesan kecederaan lama dan baru pada tubuh mangsa.

Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa juga terdapat kesan kulit yang melecur di telapak tangan kanan dan kiri serta bahagian telapak kaki kanan.

Berita Harian X