Rabu, 29 March 2017 | 12:02am
GINSOS (kanan) menyerahkan sijil pendakian Gunung Kinabalu kepada pendaki warga Jepun yang diiringinya baru-baru ini. - Foto Lano Lan
GINSOS (kanan) menyerahkan sijil pendakian Gunung Kinabalu kepada pendaki warga Jepun yang diiringinya baru-baru ini. - Foto Lano Lan
KEBOLEHAN Ginsos (kiri) bertutur bahasa Jepun memudahkan komunikasi dengan pendaki dari negara matahari terbit itu. - Foto Lano Lan
KEBOLEHAN Ginsos (kiri) bertutur bahasa Jepun memudahkan komunikasi dengan pendaki dari negara matahari terbit itu. - Foto Lano Lan

Belajar bahasa Jepun daripada pendaki

RANAU: Bermula dengan menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan pendaki warga Jepun, seorang malim gunung yang mengiringi pendaki di Gunung Kinabalu, di sini, kini mampu memahami dan bertutur dalam bahasa negara matahari terbit itu.

Ginsos Megiau, 61, membuktikan faktor usia dan ketiadaan pendidikan formal bukan penghalang untuk mempelajari bahasa Jepun, malah ketelitiannya mengingati sebutan bahasa itu menerusi percakapan pendaki negara berkenaan cukup mengagumkan.

Lelaki berbangsa Dusun berasal dari Kampung Kiau Nulu, Kota Belud itu, mengakui kekerapannya mengiringi pendaki warga Jepun membolehkannya mempelajari bahasa mereka sedikit demi sedikit hingga akhirnya mampu memahami dan bertutur.

Beliau berusaha mempelajari bahasa itu secara tidak formal menerusi pendaki warga Jepun bagi memudahkan komunikasi terutama untuk memberitahu mereka perkara penting berkaitan aspek pendakian di Gunung Kinabalu.

"Kebanyakan pendaki Jepun tidak pandai bertutur bahasa Inggeris, jadi apabila bercakap dengan mereka macam ayam dan itik. Apabila mahu berkomunikasi terpaksa guna bahasa isyarat tetapi ia kurang selesa.

"Jadi, saya cuba belajar bahasa mereka dengan mengingati apa yang mereka sebut (pendaki Jepun) dan memahami maksudnya. Saya juga tanya macam mana mahu sebut sesuatu ayat ringkas dalam bahasa Jepun.

GINSOS ditugaskan mengiringi pendaki Jepun di Gunung Kinabalu kerana kebolehannya berbahasa Jepun. - Foto Lano Lan
GINSOS ditugaskan mengiringi pendaki Jepun di Gunung Kinabalu kerana kebolehannya berbahasa Jepun. - Foto Lano Lan

GINSOS (kanan) menyerahkan sijil pendakian Gunung Kinabalu kepada pendaki warga Jepun. - Foto Lano Lan
GINSOS (kanan) menyerahkan sijil pendakian Gunung Kinabalu kepada pendaki warga Jepun. - Foto Lano Lan

"Lama-lama saya ingat dan faham apa yang mereka cakap, jadi sekarang apabila ada orang Jepun naik Gunung Kinabalu, ejen mereka biasanya mencari saya untuk mengiringi mereka mendaki," katanya ditemui BH Plus di Taman Kinabalu, Kundasang.

Ginsos yang menjadi malim atau penunjuk arah bagi mengiringi pendaki di Gunung Kinabalu sejak tahun 1970-an adalah satu-satunya malim di gunung tertinggi Asia Tenggara itu yang mampu bertutur dan memahami bahasa Jepun.

Beliau juga antara malim paling lama daripada kira-kira 250 malim gunung yang berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Kinabalu ketika ini.

Menariknya, Ginsos tidak pernah mengikuti kelas bahasa Jepun, apatah lagi menjejakkan kaki di negara berkenaan.

Sebaliknya, keupayaan beliau didorong minat untuk belajar menerusi pendaki dari negara itu hingga membolehkannya memahami dan bertutur dalam bahasa berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Kini, beliau mampu memberi penerangan ringkas mengenai aspek pendakian di Gunung Kinabalu dalam bahasa Jepun, selain menjawab pertanyaan pendaki Jepun dalam bahasa mereka dengan sebutan yang baik.

"Biasanya saya akan memperkenalkan diri dan meminta maaf kepada mereka (pendaki Jepun) jika ada sebutan mereka yang saya tidak fahami kerana ada pendaki Jepun yang menggunakan bahasa agak `dalam'.

"Saya biasanya hanya bercakap bahasa Jepun untuk memberitahu pendaki berkaitan perkara penting sepanjang pendakian seperti tempoh dan jarak pendakian serta waktu naik ke puncak, selain serba sedikit mengenai peraturan ketika di gunung.

"Pendaki Jepun memang suka apabila ada malim gunung memahami bahasa mereka dan tidak putus-putus mengucapkan 'arigato'. Saya pun balas 'arigato gozaimas' sambil tunduk macam mereka juga," katanya.

PENGERUSI Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi. - Foto Lano Lan
PENGERUSI Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi. - Foto Lano Lan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi, berkata selain Ginsos, beberapa lagi malim gunung kini dilatih mempelajari bahasa Jepun, selain Korea dan Cina bagi memenuhi keperluan pendaki dari negara terbabit.

Katanya, pihaknya turut melihat kepentingan menyediakan malim yang mampu bertutur dan memahami beberapa bahasa lain khususnya Perancis.

"Kebanyakan malim boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris tetapi ramai pendaki asing tidak memahami bahasa itu terutama dari Jepun, Korea, China dan Perancis. Bagaimanapun, kita sudah ada malim yang boleh bertutur dalam bahasa Jepun, Korea dan Cina.

"Hanya bahasa Perancis belum ada dan memang wujud keperluan mempelajari bahasa ini kerana ramai pendaki negara itu tidak pandai berbahasa Inggeris atau mereka lebih suka menggunakan bahasa mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata, penggunaan bahasa yang difahami pendaki penting bagi memudahkan komunikasi antara malim dan pendaki, selain membina hubungan mesra bagi menjadikan pendakian di Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter itu lebih selesa.

GINSOS (kanan) bersama pendaki warga Jepun yang diiringinya ketika mendaki Gunung Kinabalu, baru-baru ini. - Foto Lano Lan
GINSOS (kanan) bersama pendaki warga Jepun yang diiringinya ketika mendaki Gunung Kinabalu, baru-baru ini. - Foto Lano Lan

INFO
Malim Gunung Kinabalu:

  • 250 malim berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Kinabalu.
  • 4-5 malim mampu bertutur bahasa Jepun, Korea dan Cina.
  • 99 peratus malim boleh memahami dan bertutur ayat ringkas bahasa Inggeris.
  • 2 hingga 3 kali seminggu kekerapan malim mendaki Gunung Kinabalu.
  • 2 hari tempoh mendaki dan menuruni gunung.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X