Selasa, 11 Julai 2017 | 12:48am

Minyak wangi SANGON laris

KUCHING: Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Cawangan Mas Gading kini tampil dengan produk inovasi, minyak wangi jenama SANGON, sekali gus membuktikan keupayaan wanita Bidayuh dalam menjana ekonomi ahli.

Pengasasnya, Shirley Kho, berkata minyak wangi SANGON bermaksud cantik dalam bahasa Bidayuh adalah produk sulung MPWK cawangan itu dengan kebanyakan ahlinya terdiri daripada ibu tunggal.

"Kami sangat teruja dan bangga kerana berjaya dalam projek menghasilkan minyak wangi ini yang bertujuan menjana ekonomi ahli MPWK Cawangan Mas Gading dan pada masa sama menggalakkan bidang keusahawanan, khususnya dalam kalangan wanita Bidayuh," katanya ketika ditemui BH Plus.

Beliau berkata, minyak wangi itu menggunakan pelbagai jenis bunga bagi menghasilkan haruman yang menarik.

Setakat ini, katanya, terdapat lima jenis minyak wangi SANGON yang dihasilkan dengan haruman berbeza iaitu For Her: Sweet Temptation, Issey, Roses, Flora dan Chance.

MINYAK wangi SANGON menggunakan pelbagai jenis bunga bagi menghasilkan haruman yang menarik. - Foto Mohd Latif Ahmad
MINYAK wangi SANGON menggunakan pelbagai jenis bunga bagi menghasilkan haruman yang menarik. - Foto Mohd Latif Ahmad

MINYAK wangi SANGON terdapat lima jenis haruman berbeza iaitu For Her: Sweet Temptation, Issey, Roses, Flora dan Chance. - Foto Mohd Latif Ahmad
MINYAK wangi SANGON terdapat lima jenis haruman berbeza iaitu For Her: Sweet Temptation, Issey, Roses, Flora dan Chance. - Foto Mohd Latif Ahmad

Katanya, penghasilan minyak wangi itu turut dilakukannya sendiri di rumah dengan mengadunkan minyak pati yang diperoleh dari Kuala Lumpur dengan haruman seperti Ros, Jasmine, Vanilla dan Patchouli.

Malah, katanya, minyak wangi berkenaan boleh didapati dalam tiga saiz iaitu lima mililiter (ml), 10ml dan 35ml yang dijual pada harga RM8 bagi 5ml, RM15 (10ml) dan RM52, 35ml.

"Minyak wangi ini adalah asli yang dihasilkan daripada bunga-bungaan dan harganya adalah mampu milik," katanya.

Shirley berkata, sejak dilancarkan pada Disember tahun lalu, minyak wangi SANGON mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada wanita tempatan, dengan jualan sudah mencecah ratusan botol.

Katanya, bagi memperluaskan pasaran minyak wangi SANGON, pihaknya turut menjual secara dalam talian, selain menggunakan ejen jualan.

"Sasaran kami agar minyak wangi ini bukan sahaja digunakan oleh wanita tempatan tetapi juga wanita dari luar negara," katanya.

PENGHASILAN minyak wangi SANGON diadun dengan minyak pati dengan haruman seperti Ros, Jasmine, Vanilla dan Patchouli. - Foto Mohd Latif Ahmad
PENGHASILAN minyak wangi SANGON diadun dengan minyak pati dengan haruman seperti Ros, Jasmine, Vanilla dan Patchouli. - Foto Mohd Latif Ahmad

Sementara itu, seorang pengguna, Mary Magdalene, 38, berkata beliau sangat berpuas hati dengan kualiti minyak wangi SANGON yang digunakannya sejak ia mula dilancarkan.

"Ketika pelancaran, saya terus membeli minyak wangi ini dan memang puas hati kerana selain harganya yang mampu milik, ia juga tahan lama," katanya yang juga seorang guru.

Sementara kakitangan kerajaan, Pauline Feona, 42, yang juga pengguna setia minyak wangi SANGON, berkata ia amat berbaloi digunakan oleh wanita kerana wangiannya yang harum dan tahan lama.

"Tak rugi beli minyak wangi ini kerana harganya yang berpatutan dan mempunyai haruman yang menarik," katanya yang sudah beberapa kali membuat pembelian semula sejak mula menggunakannya sebaik minyak wangi SANGON dilancarkan.

DARI kiri ke kanan, Theresa, Anielia, Christina dan Shirley Kho (dua dari kanan) menunjukkan minyak wangi inspirasi 'SANGON' pada majlis pelancaran sempena Program Kesejahteraan Wanita 'Beautiful Mind & Soul' di Kuching. - Foto Mohd Aidil Abdullah
DARI kiri ke kanan, Theresa, Anielia, Christina dan Shirley Kho (dua dari kanan) menunjukkan minyak wangi inspirasi 'SANGON' pada majlis pelancaran sempena Program Kesejahteraan Wanita 'Beautiful Mind & Soul' di Kuching. - Foto Mohd Aidil Abdullah

INFO

  • Wanita yang ingin mencuba minyak wangi SANGON boleh menghubungi Shirley di talian 019-848 2747.
  • Terdapat lima jenis minyak wangi SANGON yang dihasilkan dengan haruman berbeza iaitu For Her: Sweet Temptation, Issey, Roses, Flora dan Chance.
  • Minyak wangi SANGON boleh didapati dalam tiga saiz iaitu 5 ml, 10ml dan 35ml.
  • Minyak wangi SANGON bagi 5ml dijual pada harga RM8, RM15 (10ml) dan RM52 (35ml).
Berita Harian X