Jumaat, 8 Julai 2016 | 4:32pm
MEK Som menerima kunjungan orang ramai tanpa henti sejak Ahad lalu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MEK Som menerima kunjungan orang ramai tanpa henti sejak Ahad lalu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Mek Som gembira terima pengunjung

PASIR MAS: Walaupun menyambut Aidilfitri dalam keadaan uzur dengan kaki kiri dipotong angkara penyamun, Mek Som Mat Diah tetap gembira menerima kunjungan orang ramai tanpa henti sejak Ahad lalu.

Kebanyakannya adalah penduduk kampung yang mengambil kesempatan melawat warga emas itu, selepas kisah penyamun remaja memotong pergelangan kaki Mek Som mendapat liputan meluas.

Sejak Ahad lalu, kediaman Mek Som, 89, dipenuhi pengunjung termasuk saudara-mara hingga larut malam, sekali gus membuatkannya ceria dan gembira.

Cucu saudara Mek Som, Mohd Tarmizi Mohd Nor, 37, yang pulang ke kampung Ahad lalu untuk menyambut Aidilfitri berkata, kediaman nenek saudaranya tidak putus-putus didatangi pengunjung.

Katanya, orang ramai turut datang beraya dan ingin melihat sendiri keadaan Mek Som.

"Kebanyakannya dari ibu kota yang pulang ke kampung dan mengambil kesempatan melihat Mek.

"Walaupun ahli keluarga masih terkejut dan sedih melihat keadaan Mek, kami menerima takdir ini.

"Saya bercadang membawa Mek tinggal bersama di Jengka, Pahang, namun biarlah Mek pulih sepenuhnya dan dijaga oleh ibu saya," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjong Rendang, Lemal, di sini, hari ini.

Mek Som dibenarkan kembali ke rumahnya selepas mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pergelangan kaki kirinya dipotong seorang penagih dadah di rumahnya di Kampung Tanjong Rendang, Lemal pada 19 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Mek Som dikatakan berehat di ruang tamu bersama anak perempuan berusia 50-an, sebelum didatangi suspek yang meminta wang.

Berita Harian X