Isnin, 3 Oktober 2016 | 9:08pm

Program Sains Matematik UTM diiktiraf di peringkat antarabangsa

PELAJAR tahun empat Sarjana Muda Sains (Matematik Industri), Foo Weoi Ming. - Foto UTM
PELAJAR tahun empat Sarjana Muda Sains (Matematik Industri), Foo Weoi Ming. - Foto UTM

JOHOR BAHRU: Pelajar tahun empat Sarjana Muda Sains (Matematik Industri), Foo Weoi Ming menjadi mahasiswa pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengikuti program Ijazah Berganda Sarjana Muda (Matematik Industri) dan Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari).

Weoi Ming, 23, akan berlepas ke United Kingdom esok untuk mengikuti pengajian di tahun empat dan lima di University of Kent dengan dibiayai oleh Yayasan UTM dalam bentuk separa pinjaman.

Weoi Ming memperoleh pencapaian akademik cemerlang dengan mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 juga pernah menjalani latihan industri di Jabatan Statistik Bank Negara Malaysia (BNM).

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Wahid Omar, berkata program Sarjana Sains Matematik Industri UTM mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila University of Kent menggandingkannya dengan Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) sebagai program ijazah berganda.

Katanya, langkah berkenaan membuktikan program pengajian yang ditawarkan oleh UTM berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Program ijazah berganda dijangka dapat meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan kerana pelajar mempunyai dua ijazah dalam dua bidang iaitu bidang matematik industri dan sains aktuari.

"Graduan program Program Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) boleh dikecualikan daripada mengambil lapan daripada 15 kertas peperiksaan UK Actuarial Professional Examination CTI - CT8 yang diiktiraf oleh Institute and Faculty of Actuaries (IFA), United Kingdom," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wahid berkata, program ijazah berganda menyokong agenda pengantarabangsaan UTM dengan meningkatkan mobiliti pelajar ke luar negara dan seterusnya membantu universiti menambah bilangan pelajar yang memiliki pengalaman pembelajaran di luar negara.

Katanya, program itu terbuka kepada semua pelajar yang mengikuti program Sarjana Muda Matematik Industri di UTM dan program Sarjana Muda Sains (Sains Aktuari) menjadi antara program yang mendapat akreditasi Institute and Faculty of Actuaries (IFA), United Kingdom dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Berita Harian X