Rabu, 12 Oktober 2016 | 1:58pm

Bank Rakyat lancar Kempen #BankRakyatCares

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat hari ini melancarkan Kempen #BankRakyatCares bagi memenuhi keperluan pelanggan selain membantu mereka membuat persediaan perancangan kewangan pada masa kini.

Menerusi kempen itu, ia mempromosikan produk pembiayaan Bank Rakyat iaitu Peribadi-i; Perumahan-i; Kenderaan-i dan Motosikal-i; Kad Kredit-i dan Kad Debit-i serta Akaun Deposit Berjangka-i dan Pajak Gadai-i.

Ketua Pegawai Operasi, Md Khairuddin Arshad, berkata kempen berkenaan bermula 15 Oktober ini hingga 31 Mac 2017 dan ia menawarkan pelbagai hadiah lumayan bernilai hampir RM1 juta kepada pelanggan dengan hanya menghantar SMS mudah.

"Kempen ini bagi menyerlahkan keprihatinan kami terhadap keperluan dan kehendak rakyat yang mana Bank Rakyat sentiasa membantu mereka membuat persediaan perancangan kewangan.

"Sebagai bank yang sudah 62 tahun berada dalam industri perbankan, kempen itu dapat membantu pelanggan membuat perancangam kewangan dengan baik menerusi produk kami," katanya pada pelancaran kempen itu di sini, hari ini.

Turut diadakan majlis penyampaian hadiah Kempen Ceria Beraya bagi tahun 2016 yang menyediakan hadiah keseluruhan hampir RM400,000.

Maklumat lanjut mengenai Kempen #BankRakyatCares boleh didapati di laman sesawang korporat, www.bankrakyat.com.my

Berita Harian X