Rabu, 12 Oktober 2016 | 10:13pm

Bank Rakyat sasar kelulusan pembiayaan RM22b tahun ini

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat, bank koperasi terbesar di Malaysia, meluluskan pembiayaan untuk pelbagai produk berjumlah RM21 bilion sehingga 30 September 2016.

Ketua Pegawai Operasinya, Md Khairuddin Arshad, berkata kelulusan berkenaan merangkumi pembiayaan produk peribadi, rumah, auto dan motosikal, pendidikan, mikro dan kad kredit.

Katanya, ini sekali gus membolehkan bank mencatat 95 peratus daripada sasaran kelulusan untuk pembiayaan produk tahun ini, terutama dipacu oleh peningkatan pertumbuhan pembiayaan peribadi.

Berdasarkan prestasi memberangsangkan ketika ini, bank berkenaan yang dikenali dengan slogan 'Bank Pilihan Anda' itu menyasarkan kelulusan pembiayaan mencecah RM22 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Sasaran jumlah itu mampu dicapai terutama menerusi tawaran pelbagai produk pembiayaan, selain kempen promosi yang dijalankan secara berterusan termasuk Kempen #BankRakyatCares.

"Menerusi Kempen #BankRakyatCares, kami berharap jumlah kelulusan pembiayaan dapat ditingkatkan. Kami menyasarkan kelulusan pembiayaan sebanyak RM5 bilion dapat dicapai dalam tempoh berbaki tiga bulan tahun ini sehingga suku pertama tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen #BankRakyatCares dan penyampaian hadiah Kempen Ceria Beraya 2016, di sini, hari ini.

Kempen berkenaan yang bermula 15 Oktober ini sehingga 31 Mac 2017 dilancarkan bagi memenuhi keperluan pelanggan, selain membantu mereka membuat persediaan perancangan kewangan pada masa kini.

Kempen itu membantu pelanggan membuat perancangan kewangan menerusi produk Bank Rakyat seperti Pembiayaan Peribadi-i; Pembiayaan Perumahan-i; Pembiayaan Kenderaan-i dan Motosikal-i; Kad Kredit-i dan Kad Debit-i; Akaun Deposit Berjangka-i serta Pajak Gadai-i.

Md Khairuddin berkata, pihaknya juga kini berusaha untuk meningkatkan peratusan pelanggan kakitangan swasta yang ketika ini mencatatkan kurang daripada 20 peratus.

"Sebahagian besar pelanggan kami pada masa ini adalah kakitangan sektor awam. Jadi, kami berusaha untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dengan menyediakan pelbagai produk menarik, selain meningkatkan perkhidmatan serta infrastruktur kami," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober ini, beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan inisiatif untuk mengurangkan kekangan yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan pertengahan 40 peratus (M40).

Selain itu, katanya, lebih banyak dana perlu disediakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) bagi menyokong pertumbuhannya segmen berkenaan.

"Ini kerana IKS kini menyumbang kira-kira 80 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Info:

- Kempen #BankRakyatCares menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM1 juta.

- Maklumat lanjut mengenai kempen boleh didapati di www.bankrakyat.com.my

Berita Harian X