Isnin, 9 Disember 2019 | 2:44pm
MISS Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon memperagakan busana yang bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MISS Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon memperagakan busana yang bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Malaysia menang Kostum Kebangsaan Terbaik - Miss Universe 2019

KUALA LUMPUR: Inspirasi busana Peranakan Baba dan Nyonya mencatat sejarah kali pertama dinobatkan sebagai Kostum Kebangsaan Terbaik dalam pertandingan Miss Universe 2019, yang berlangsung di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam.

Busana ilham pereka tempatan, Carven Ong bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’ itu diperagakan Miss Universe Malaysia 2019, Shweta Sekhon, 22, menewaskan 89 peserta lain dalam pertandingan ratu cantik nombor satu dunia itu.

Kemenangan yang diperoleh undian atas talian, diilhamkan dari sajian pemanis mulut tempatan yang enak dan unik selain memartabatkan kekayaan seni budaya masyarakat Melayu, Cina dan Peranakan, menerusi pemilihan material songket dan batik.

Shweta berkata, kemenangan itu buka saja membawa kebahagiaan, kasih sayang dan kebanggaan, tetapi menjulang nama Malaysia di persada dunia.

“Penghormatan ini bukan menjulang nama negara tercinta tetapi menghargai komitmen keras yang dicurahkan sejak saya dinobatkan Miss Universe Malaysia pada Mac lalu hanya ungkapan terima kasih, kemenangan ini untuk semua 31. 4 juta rakyat Malaysia.

“Syukur atas semua sokongan, doa kerana kemenangan ini satu sejarah dan melonjakkan warisan budaya kita menerusi kreativiti pereka tempatan dan kita berjaya membuktikan Malaysia Boleh,” katanya yang dipetik dari laman Instagramnya.

Pertandingan Miss Universe ke-68 itu, menobatkan peserta Afrika Selatan, Zozibini Tunzi diumumkan sebagai Miss Universe manakala tempat kedua, Madison Anderson (Puerto Rico) dan ketiga, Sofia Aragon (Mexico).

Dengan kemenangan Zozibini, wakil Malaysia bagaimanapun tidak berjaya mara ke peringkat Top 20 sekali gus menyaksikan Shweta kempunan untuk layak ke peringkat separuh akhir dalam tempoh 49 tahun.

Sebagai rekod, kali terakhir peserta Malaysia yang layak ke separuh akhir ialah menerusi Josephine Lena Wong pada 1970.

Sementara itu, Ong ketika dihubungi Berita Harian Online, berkata beliau tidak menjangkakan kemenangan berkenaan dan sangat membanggakan kerana rekaan itu diiktiraf pada edisi ke-68 ini.

“Saya sangat gembira untuk Shweta yang memperagakan busana rekaan saya. Sejujurnya saya bersedia menerima apa juga kritikan kerana gaun petang bertemakan nasi lemak yang pernah direka sebelum ini pernah dikecam hebat.

“Tetapi apabila Malaysia menang untuk Kostum Kebangsaan Terbaik ia benar-benar menggembirakan pada semua kerana acara itu nombor satu di dunia,” katanya.

Berita Harian X