Ahad, 22 Disember 2019 | 10:37pm
Pertunjukan fesyen pada Gaya Fest 2019 di Medan Mara dan Busana Mara Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee
Pertunjukan fesyen pada Gaya Fest 2019 di Medan Mara dan Busana Mara Kuala Lumpur. - NSTP/Aziah Azmee

Suziyanti tampil gaun sulam tema batu karang

KUALA LUMPUR: Aktif berkecimpung dalam bidang andaman selama 20 tahun, membuahkan hasil apabila ilham gaunnya diperagakan pada majlis Gaya Fest 2019, berlangsung di Medan Mara, di sini, baru-baru ini.

Sentuhan Suziyanti Ngah, mendapat perhatian dan tepukan gemuruh tetamu, sekali gus melayakkan beliau bergelar pereka fesyen iaitu satu impian yang diidamkan sejak sekian lama.

Perunding perkahwinan dari Jengka, Pahang berkata, beliau tidak mahu duduk di takuk sama sebaliknya lari daripada kebiasaan dengan menguji kreativiti dengan menghasilkan busana pengantin kepada rekaan gaun petang.

"Saya mahu mengembangkan perjalanan karier rekaan fesyen dan mencabar diri menonjolkan bakat dengan mengilhamkan busana lebih menarik.

“Berbekalkan sokongan dan bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA), saya meletakkan sasaran untuk terbang tinggi dalam bidang fesyen selari jenama terkemuka,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Rona kuning mustard menampilkan unsur berani dalam rekaan pada pertunjukan fesyen Gaya Fest 2019. - NSTP/Aziah Azmee
Rona kuning mustard menampilkan unsur berani dalam rekaan pada pertunjukan fesyen Gaya Fest 2019. - NSTP/Aziah Azmee

Seramai 10 pereka fesyen baharu terbabit mempersembahkan tiga koleksi rekaan masing-masing. Koleksi gaun petang bertemakan “Coral Reef” rekaan Suziyanti, menyerlah berbanding rekaan lain menerusi rona menonjol iaitu kuning mustard.  

Suziyanti berkata, beliau memilih rona terang dan menyengat itu bagi membawa elemen 'wow' dan lambang pembakar semangat.

“Rona itu juga terjemahan kepada tema batu karang hidupan lautan. Saya menitipkan elemen batu karang dalam sulaman di belakang busana rekaan pakaian dihasilkan.

“Tidak menggunakan komputer hanya mengekalkan teknik tradisional iaitu sulam tekap,” katanya.

Uniknya, beliau berkata sentuhan ini adalah campuran beberapa pakaian tradisi dan budaya luar iaitu jubah dipakai kebanyakan wanita Arab, baju rasmi wanita Korea serta potongan kimono pakaian masyarakat Jepun.

“Ketiga-tiga negara itu menjadi sumber inspirasi dalam menghasilkan rekaan gaun petang daripada fabrik shantung tafeta,” katanya.

Kemasan sulam tema batu karang lebih ceria pada pertunjukan fesyen Gaya Fest 2019. NSTP/Aziah Azmee
Kemasan sulam tema batu karang lebih ceria pada pertunjukan fesyen Gaya Fest 2019. NSTP/Aziah Azmee

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata Gaya Fest 2019 adalah acara perayaan usahawan di bawah kluster gaya hidup.

Beliau berkata, aktiviti itu mewakili tujuh program khas iaitu MARA in Fashion (MIF), Hair in Trend (HIT) Barber, OARA Spa, Beauty in Business (BISS) dan Pembangunan Usahawan Resort (PURE)

“Inisiatif bertujuan mempromosikan produk perkhidmatan usahawan dengan membuka peluang mewujudkan rangkaian industri, ejen pemasaran dan pembekal di samping memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan hingga ke pasaran antarabangsa.

“Ini menjadi titik awal menghebahkan kepada masyarakat mengenai program keusahawanan yang dilaksanakan bagi menambah baik sistem penyampaian maklumat kepada semua peringkat dalam meningkatkan imej MARA,” katanya.

Berita Harian X