Sabtu, 14 March 2020 | 10:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bahana jadi 'burung hantu'

SUDAH seperti burung hantu. Berjaga malam hanya kerana mahu melayan sahutan pesanan ringkas atau melayari Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube dan e-mel sudah menjadi tabiat biasa masyarakat di seluruh dunia.

Bunyi deringan mesej sama ada menghantar, menerima, mengemas kini dan menyemak pelbagai mesej menerusi peranti mudah alih itu menjejaskan kesihatan dan pola tidur seseorang.

Hasil kajian peneraju global teknologi kesihatan, Royal Philips menerusi “Wake Up Call: Global Sleep Satisfaction Trends”, menunjukkan individu di seluruh dunia semakin kurang tidur dengan purata 7 jam setiap malam.

Lebih separuh pengguna peranti mudah alih dunia menetap di negara Asia Pasifik (APAC) ketagih melakukan aktiviti di atas tanpa menghiraukan masa tidur mereka terjejas.

Kajian selidik menunjukkan 83 peratus individu menggunakan telefon mereka di katil, walaupun ramai pakar mengesyorkan tidak wajar berbuat demikian.

Kira-kira 49 peratus responden menyatakan perkara terakhir yang mereka lakukan sebelum tidur ialah melihat telefon dan 46 peratus dewasa APAC melihat telefon sebaik bangun tidur.

Bahkan hampir 15 peratus turut mengakui bahawa mereka menjawab pesanan teks serta panggilan yang mengejutkan daripada tidur di sepanjang malam hingga menghalang daripada mendapatkan rehat tanpa diganggu.

Yang nyata tidur penting untuk membantu tubuh mengagihkan semula sumber tenaga diperlukan terutamanya untuk fungsi otak dan otot hingga ke sistem imun tubuh, selain mampu merehatkan badan selepas seharian bekerja.

Kajian lanjut berkaitan isu sama, turut mendapati hampir 47 peratus penduduk di negara APAC merasakan mereka tidak berpuas hati dengan kualiti tidur mereka dan lebih daripada 35 peratus percaya mereka tidak berdaya untuk mendapatkan tidur yang secukupnya.

Ia dapat diperhatikan menerusi kualiti tidur yang buruk iaitu berasa gelisah dengan catatan kira-kira 79 peratus orang dewasa di negara APAC terjaga sekurang-kurangnya sekali semalam semasa tidur.

Melihat kepada faktor paling utama menghalang tidur, rasa bimbang atau tekanan kekal menjadi sebab utama (29 peratus), diikuti oleh persekitaran tidur seseorang termasuk suasana bising, cahaya serta suhu (15 peratus), peranti mudah alih seperti telefon atau gajet (13 peratus) dan faktor kesihatan seperti kesakitan atau masalah pernafasan (9 peratus).

Lebih parah lagi, kurang tidur menjadikan seseorang berdepan risiko seperti apnea tidur obstruktif (OSA).

Hasil kaji selidik global Philips, mendapati lebih daripada 29 peratus dewasa APAC percaya mereka mungkin berisiko menghidapi OSA, namun 26 peratus takut untuk menjalani ujian tidur kerana tidak mahu tahu jika mereka menghidap OSA.

Masalah OSA ini dikategorikan sebagai gangguan pernafasan berulang di sepanjang kitaran tidur, lalu menghalang oksigen daripada sampai ke paru-paru.

Keadaan boleh menjadi lebih teruk apabila wujud faktor tambahan seperti obesiti di mana hampir dua pertiga dewasa di Malaysia mempunyai masalah berat badan atau obesiti.

Simptom yang jelas mengenai OSA ini termasuk rasa lemas atau tercungap-cungap semasa bernafas ketika tidur, dengkur yang kuat serta kerap, rasa letih berlebihan dan kurang tumpuan pada waktu siang.

Pengurus Negara Philips Malaysia, Muhammad Ali Jaleel berkata, walaupun kesedaran mengenai kepentingan tidur yang cukup untuk kesihatan semakin meningkat, namun masih membimbangkan kerana ramai tidak berupaya mendapat tidur malam mencukupi selain enggan menjalani rawatan OSA.

Katanya, jika dibiarkan tanpa rawatan, OSA boleh mengundang risiko kesihatan jangka pendek dan panjang yang serius termasuk penyakit jantung, diabetes, lumpuh dan tekanan darah tinggi.

“Jadi kami menggesa masyarakat segera mendapatkan diagnosis dan rawatan jika berdepan dengan masalah ini,” katanya.

Bukan setakat rawatan perlu dilakukan, individu yang berdepan dengan kesukaran ini juga boleh menanganinya dengan cara seperti mengurangkan pengambilan kafein (27 peratus), membuat jadual tidur atau bangun yang tetap (32 peratus) dan membaca (29 peratus) bagi mendapatkan tidur yang lebih baik.

Sementara itu, Ketua Global Perubahan Tingkah Laku, Penjagaan Tidur dan Pernafasan di Philips, Mark Aloia, berkata jumlah individu tidak mengambil berat untuk memperbaiki tidur mereka sangat membimbangkan.

Katanya, ini jelas dalam kaji selidik menunjukkan masyarakat dunia sepatutnya menghargai masa tidurnya.

“Masalah kurang tidur memberi kesan mental dan fizikal ke atas masyarakat. Oleh itu, kita perlu mendidik masyarakat mengenai sumber tidur yang ada dan memperkasakan mereka dengan keyakinan usaha itu membuahkan hasil,” katanya.

Berita Harian X