X
Selasa, 11 Februari 2020 | 7:54am
Kesalahan menghendap secara berterusan mengganggu emosi mangsa. - Foto hiasan
Kesalahan menghendap secara berterusan mengganggu emosi mangsa. - Foto hiasan

'Menghendap' undang jenayah

KUALA LUMPUR: Perbuatan menghendap nampak seperti suatu aktiviti yang berniat sekadar mengusik, namun tiada siapa sangka kegiatan itu boleh cenderung ke arah jenayah pembunuhan.

Mangsa aktiviti mengendap ini pada mulanya mungkin boleh mengabaikan tindakan pengganggu, namun apabila ia semakin serius atau melampaui batas sehingga mendatangkan kerisauan dan lebih buruk memberi ancaman kepada mangsa.

Pengurus Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Malaysia, Yu Ren Chung, berkata berdasarkan kajian bertajuk Stalking and Intimate Partner Femicide, Homicide Studies, di Amerika Syarikat dan Kanada, 90 peratus kes bunuh dan cubaan membunuh didahului oleh aktiviti mengendap.

Berdasarkan National Intimate Partner and Sexual Violence Survey di Amerika Syarikat, satu daripada setiap enam wanita dan satu daripada setiap sembilan lelaki berdepan pengalaman dihendap.

Katanya, bukan satu kejutan apabila di Malaysia sendiri pernah dicatatkan berlaku kes pembunuhan akibat perbuatan mengendap yang dilaporkan pada 2017.

“Melalui dalam laporan itu, seorang lelaki membunuh bekas isterinya yang sudah lima tahun bercerai dengan pistol sebelum membunuh diri di sebuah firma guaman.

“Ia jelas memberi maksud bahawa aktiviti mengendap ini adalah perkara serius kerana boleh menjurus kepada jenayah pembunuhan, ” katanya kepada BH, di sini.

Pada masa sama, Ren Chung berkata, berikutan kesalahan mengendap sudah dilihat menjadi sesuatu yang biasa dilakukan maka undang-undang berkaitannya amat diperlukan di negara ini.

Beliau berkata, dengan adanya undang-undang ini, ia mampu memberi sumbangan besar apabila pihak berkuasa bukan sahaja dapat menghalang aktiviti menghendap, malah lebih penting, ia dapat menyelamatkan nyawa.

“Justeru, kami mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong atas komitmennya untuk memperkenalkan undang-undang berkaitan menghendap pada sesi Parlimen akan datang.

“Begitu juga penghargaan ini kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh atas sokongan yang diberikan atas pelaksanaan undang-undang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, undang-undang berkaitan jenayah intip dan hendap dikenali sebagai Anti-Stalking Law yang bakal diperkenalkan kerajaan, dijangka mampu melindungi mangsa khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Kesalahan dijangka termaktub dalam undang-undang terbabit, bukan setakat gangguan secara sentuhan semata-mata, tetapi merangkumi perbuatan secara berterusan menggunakan pelbagai instrumen atau medium, termasuk telekomunikasi hingga mengganggu emosi mangsa.

Ren Chung berkata, kesalahan mengendap dicadangkan diwujudkan di bawah Kanun Keseksaan dengan mengikut undang-undang seperti diamalkan di United Kingdom.

“Satu lagi elemen penting adalah mewujudkan perintah perlindungan untuk pemandiri stalking, supaya pemandiri mendapat perlindungan ketika kes disiasat oleh polis dan semasa prosiding mahkamah dijalankan.

“Kita percaya polis sekarang menyokong kewujudan kesalahan terhadap perbuatan menghendap supaya dapat membantu mangsa kerana sekarang ini jika laporan dibuat polis mereka susah untuk mengambil tindakan.

“Jika pelaku tidak membuat tindakan memukul atas mengugut mangsa, ia mungkin sukar untuk klasifikasi tindakan itu sebagai jenayah.

“Selain itu, polis biasanya melihat setiap perbuatan pelaku sebagai insiden berasingan sedangkan menghendap selalunya membabitkan beberapa insiden, ” katanya.

Keratan akhbar BH 25 Januari 2019.
Keratan akhbar BH 25 Januari 2019.

Mangsa terganggu emosi, pelaku ekori hingga ke rumah

Diintai, diekori dan menerima pesanan WhatsApp serta e-mel daripada bekas rakan sekerja lelaki, kira-kira dua tahun lalu masih meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi terhadap seorang pegawai eksekutif pemasaran sebuah syarikat.

Hanya mahu dikenali sebagai Amelia, 26, berkata situasi itu benar-benar menimbulkan ketakutan dan sehingga kini beliau masih takut diganggu lagi.

Bercerita lanjut, Amelia yang berasal dari Shah Alam, menjelaskan beliau pada mulanya menyangka perbuatan itu sekadar mengusik menyebabkannya tidak mengambil pusing terhadap tindakan pelaku (rakan sekerja).

Namun, keadaan itu semakin kerap sehingga menimbulkan ketakutan Amelia kerana pelaku bukan sahaja menelefon dan menghantar mesej berulang kali, tetapi turut mengganggu di e-mel.

“Saya mula syak bahawa ada sesuatu tidak kena apabila bekas rakan sekerja itu kerap menghubungi saya. Dia juga menggunakan nombor telefon dan alamat e-mel yang berlainan.

“Apabila saya tidak layan, dia akan pula mengganggu keluarga, tempat kerja dan rakan saya menyebabkan saya benar-benar ketakutan, ” katanya kepada BH, di sini.

Pada masa sama, Amelia berkata, keadaan menjadi lebih parah apabila pelaku turut mengekorinya dan sehingga ke pejabat dan kediamannya.

Katanya, berang berikutan tidak dilayan, pelaku juga bertindak melampaui batas apabila menyebarkan gambar peribadinya di internet dengan niat untuk memalukan dirinya.

“Namun paling saya tidak boleh terima ialah apabila dia memasang alat Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) pada kenderaan saya untuk tahu ke mana saya pergi.

“Saya benar-benar terganggu dengan semua perlakuannya sehingga menimbulkan ketakutan. Saya juga pernah jatuh sakit dan susah tidur. Malah saya juga jarang keluar rumah kerana takut diserang, ” katanya.

Tidak tahan dengan segala ancaman dan aktiviti pelaku terbabit, Amelia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun, pihak berkuasa menjelaskan bahawa tindakan tidak boleh diambil selagi pelaku tiada sentuhan fizikal atau secara terang-terangan mengugut.

Amelia berkata, kesal dengan keadaan itu, beliau terpaksa berpindah rumah supaya tidak dapat dikesan, selain mendapatkan bantuan ahli keluarganya untuk melindungi dirinya.

“Sehingga sekarang saya masih berjaga-jaga bagi mengelak kejadian berulang,” katanya.

Beliau yakin ada ramai wanita lain yang turut berdepan dengan pengalaman sama, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa apabila tiada undang-undang jelas bagi menghukum pelaku, melakukan perbuatan mengendap.

Justeru, beliau menggesa supaya menyegerakan anti-stalking law untuk melindungi mangsa, khususnya wanita, daripada gangguan secara realiti atau dalam talian.

Berita Harian X