Sabtu, 30 Mei 2020 | 4:28pm
AMY Nur Tinie Abdul Aziz
AMY Nur Tinie Abdul Aziz

Model Malaysia diumum Miss Eco International 2019

KUALA LUMPUR: Wakil Malaysia, Amy Nur Tinie Abdul Aziz diumumkan sebagai Miss Eco International 2019 selepas penyandang anugerah ratu cantik alam sekitar itu ditarik balik kemenangannya.

Perkara itu diumumkan penganjur Miss Eco International dalam Facebook rasminya semalam.

Amy Nur Tinie, 24, pemenang tempat kedua pertandingan itu diumumkan Miss Eco International 2019 baharu selepas ratu cantik dari Peru, Suheyn Cipriani mengandung dan tidak dapat menjalankan tugasnya sepanjang tempoh itu.

Dilaporkan tempat ratu cantik itu sepatutnya diisi Ratu Cantik dari Filipina, Maureen Montagne yang memenangi tempat pertama, tetapi beliau menolaknya dengan alasan tidak dapat memberikan komitmen berikutan terbabit dengan persiapan pertandingan ratu cantik di negaranya.

Mengulas perkara itu, Amy Nur Tinie yang berasal dari Perak di dalam twitternya menyatakan beliau seakan tidak percaya dengan pengiktirafan itu.

AMY Nur Tinie Abdul Aziz (kiri) bersama peserta akhir Miss Eco International 2019. (Foto/Agensi)
AMY Nur Tinie Abdul Aziz (kiri) bersama peserta akhir Miss Eco International 2019. (Foto/Agensi)

"Saya masih tidak percaya. Saya melalui jalan berliku dalam pertandingan ratu cantik tetapi saya tidak berhenti kerana saya percaya suatu hari nanti semuanya tidak akan sia-sia. Semuanya berlaku atas sebab tertentu. Terima kasih banyak atas sokongan anda.

"Kepada Suheyn, anda akan sentiasa menjadi pemenang!," katanya.

Mahu dikenali sebagai Tinie, beliau menyertai Miss Eco International di Kaherah, Mesir Mac tahun lalu mendapat tempat kelima (4th Runner Up) sebelum dinobatkan di tempat kedua.

Pada pertandingan yang pertama kali menyaksikan Malaysia berjaya berada di tangga lima teratas pertandingan itu, Tinie turut memenangi anugerah Best Eco Dress, yang menampilkan rekaan baju bertemakan sirih junjung.

Berita Harian X