Ahad, 31 Mei 2020 | 7:55pm
LINDUNGI pekerjaan, keselamatan dan kesihatan wanita. Gambar hiasan
LINDUNGI pekerjaan, keselamatan dan kesihatan wanita. Gambar hiasan

Syor RUU COVID-19, lindungi pekerja, keselamatan dan kesihatan wanita

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara COVID-19 yang dibentangkan oleh kerajaan pada Julai depan harus melindungi pekerjaan, keselamatan dan kesihatan wanita.

Justeru, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), dalam kenyataannya mencadangkan RUU itu tidak menghakis kemajuan kesaksamaan gender di Malaysia.

Selain itu, pertubuhan itu mencadangkan lima perkara bagi mengelakkan lebih banyak pengabaian ke atas hak asasi dan kebajikan wanita.

WOA mencadangkan RUU sementara itu perlu memberi mandat kepada perkhidmatan perundangan, serta mana-mana perkhidmatan lain disenaraikan sebagai penting boleh didapati secara atas talian sekiranya perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan lagi.

"Ketika kemuncak pandemik, walaupun terdapat peningkatan dalam kes keganasan rumah tangga dan adanya keperluan yang kritikal untuk perlindungan kepada mangsa, wujudnya ketidakjelasan bagi mangsa keganasan rumah tangga untuk mendapatkan perintah perlindungan ketika tempoh PKP.

"Kita harus bersedia dengan lebih baik untuk melindungi keselamatan wanita dan kanak-kanak perempuan bagi mengelakkan jangkitan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan dengan memastikan akses yang berterusan kepada perkhidmatan perundangan dan mekanisme perlindungan yang kritikal," menurut kenyataan itu.

WOA menyatakan perkhidmatan dalam melindungi pekerjaan ibu bapa yang bekerja, termasuklah kesihatan dan keselamatan wanita masih belum disenaraikan sebagai "perkhidmatan penting" ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan kesukaran untuk beroperasi ataupun terpaksa menangguhkan perkhidmatan sepenuhnya.

"Ketidakadilan gender ini perlu diperbetulkan dengan menyenaraikan secara khusus perkhidmatan penting seperti kemudahan mesra keluarga seperti pusat jagaan kanak-kanak.

"Selain, Mahkamah Industri bagi pekerja yang dipecat secara tidak sah; perkhidmatan sokongan krisis bagi mangsa keganasan berasaskan gender seperti talian hotline dan rumah perlindungan sementara dan kemudahan penjagaan kesihatan sampingan seperti klinik yang diuruskan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Kebanyakan fungsi kritikal kerajaan, termasuk barisan hadapan dalam pengurusan kes keganasan berasaskan gender semakin sibuk ketika pandemik.

"RUU pemulihan harus menyediakan peruntukan tambahan untuk pekerja bantuan dan sementara untuk mempertingkatkan tenaga kerja sektor awam yang lebih ramai supaya perkhidmatan kritikal kerajaan, termasuk menambah rumah perlindungan keganasan rumah tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menambah baik proses permohonan perintah perlindungan ke atas mangsa keganasan rumah tangga agar ia boleh beroperasi dengan lebih lancar," katanya.

WOA juga mahu RUU sementara memberi fokus kepada mempertingkatkan perlindungan pekerjaan kepada penjagaan tidak berbayar yang terpaksa berhadapan dengan beban berganda pekerjaan mereka dan juga penjagaan yang tidak berbayar.

Untuk mengurangkan beban itu, WOA mencadangkan RUU berkenaan menekankan hak untuk bekerja dengan waktu anjal kepada kesemua pekerja yang tidak bekerja dalam perkhidmatan penting ketika pandemik, yang dikuatkuasakan melalui Mahkamah Industri sekiranya majikan tidak memberikan kebenaran yang sewajarnya.

Menurut WOA, ketika PKPB mengakibatkan kesukaran kepada isi rumah ibu atau bapa tunggal dengan anak atau anak dewasa dengan ibu dan bapa bergantung kepada mereka.

"Sebarang kawalan pergerakan yang baharu pada masa hadapan haruslah memberi perhatian kepada keperluan yang berlainan untuk golongan tertentu," katanya

Berita Harian X